JOHOR BAHRU, 28 Jun 2026 – Hampir 1,000 penduduk setempat membanjiri Dewan Cermai, Tiram dan Dewan Kampung Sinaran Baru, Skudai dalam Program Sentuhan Kasih UKM@Johor yang sarat dengan nilai kemesraan, kebersamaan dan keprihatinan.
Inisiatif ini diterajui oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) dengan penglibatan 78 warga UKM merangkumi Pejabat Naib Canselor, Pusat Komunikasi Korporat, Pusat Pengurusan Akademik, UKMShape, Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Hospital, Hospital Canselor Tuanku Muhriz serta mahasiswa Kesatuan Mahasiswa UKM dan ersatuan Mahasiswa Anak Johor.
Program dua hari bertemakan “Dari Kampus ke Komuniti, Menyebar Kasih dan Bakti” ini menampilkan pelbagai pengisian seperti gotong-royong, pemeriksaan kesihatan percuma, Ziarah Kasih Mahasiswa UKM, reruai akademik, pertandingan mewarna, permainan tradisional, senamrobik, reruai komuniti serta cabutan bertuah yang memeriahkan suasana.
Majlis di Dewan Cermai, Tiram turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang bersama-sama menyantuni komuniti setempat. Dalam majlis ini, UKM turut menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada 20 wakil keluarga.
Ketua Komuniti Zon Kota Delima Herman Ismadi Ismail, program ini memberi peluang kepada penduduk untuk mengenali UKM dengan lebih dekat serta mengetahui pelbagai peluang dan inisiatif yang ditawarkan oleh universiti.
“Saya amat gembira dan berterima kasih kepada pihak UKM kerana sudi hadir ke kawasan kami untuk menganjurkan Program Sentuhan Kasih.
“Program ini memberi manfaat kepada komuniti dan mendekatkan hubungan antara universiti dengan masyarakat.
“Harapan kami ialah program seperti ini dapat terus memupuk semangat kebersamaan dan mengeratkan hubungan antara UKM dengan komuniti,” katanya.
Menurutnya, kira-kira 80 peratus penduduk di kawasan itu merupakan warga industri yang bekerja pada hujung minggu, namun keadaan tersebut tidak menjejaskan sambutan terhadap program berkenaan apabila komuniti tetap hadir dan memberikan kerjasama yang baik.
Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Hj. Norinsan Kamil Othman; serta Pengarah HEP-UKM merangkap Pengerusi Program, Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Darfizzi Derawi turut hadir memeriahkan program.
Dalam masa yang sama, UKM turut melaksanakan Program Ziarah Kasih Siswa yang menyantuni tujuh keluarga mahasiswa di sekitar Tiram dan Puteri Wangsa, diketuai oleh barisan kepimpinan tertinggi universiti.
Pendekatan turun padang ini memperkukuh komitmen UKM dalam merealisasikan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 1 (Tiada Kemiskinan), SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan) serta SDG 17 (Kerjasama demi Matlamat). Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan universiti dalam memperkasa kesejahteraan mahasiswa dan komuniti melalui jaringan kerjasama strategik.

