BANGI, 10 Julai 2016 – Fakulti Undang-Undang (FUU) yang diwakili oleh Dekannya, Prof. Dr. Rasyikah Khalid, menyertai China-ASEAN Education Alliance on Mutual Learning of Rule of Law Civilizations, baru-baru ini.
Jalinan kerjasama ini disertai oleh fakulti undang-undang terkemuka di negara ASEAN dan China bagi memperkukuh kerjasama pertukaran tamadun perundangan.
Menurut Prof Dr Rasyikah, pemilihan dan penyertaan FUU UKM merupakan satu pengiktirafan terhadap UKM serta menjadi platform penting dalam mempertingkatkan kerjasama strategik dengan universiti terkemuka di rantau ASEAN dan China.
Beliau juga diberi peluang berucap pada 2026 Conference on Exchanges and Mutual Learning of Rule of Law Civilizations anjuran China University of Political Science and Law (CUPL).
Pada persidangan yang sama, Setiausaha Agung ASEAN, TYT Dr Kao Kim Hourn memberi ucaptama dan menegaskan bahawa pertukaran dan pembelajaran bersama antara sistem perundangan adalah penting dalam membina persefahaman, memperkukuh kepercayaan, menangani cabaran rentas sempadan serta kepentingan kerjasama berasaskan kedaulatan undang-undang.
Beliau turut melancarkan China-ASEAN School yang menghubungkan fakulti undang-undang terbaik dari negara-negara ASEAN dan China, selain menggalakkan pertukaran dua hala dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan amalan perundangan.
China-ASEAN School bakal melahirkan bakat perundangan yang berpengetahuan merentas sistem undang-undang serta mahir dalam kerjasama rentas sempadan, khususnya dalam konteks hubungan ASEAN dan China yang semakin berkembang.


