Program BeSTARI Perkukuh Pelan Pewarisan Kepimpinan UKM

Oleh Melor Suria Minhat
Foto Ikhwan Hashim

BANDAR ENSTEK, 6 Ogos 2026 – Bagi memastikan kelestarian pelan pewarisan kepimpinan serta memperkukuh sistem pentadbiran universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan program Bench Strength Talent Assessment and Reporting Initiative (BeSTARI) 2026, di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), baru-baru ini.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh berkata pelaksanaan program BeSTARI merupakan inisiatif penting bagi menambah baik sistem pentadbiran universiti melalui pembangunan barisan pelapis  kepimpinan yang berwibawa dan bersedia meneruskan kesinambungan kepimpinan UKM.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk menambah baik sistem pentadbiran, iaitu mengenal pasti bakat sedia ada untuk kita bangunkan sebagai pelapis kepimpinan. Apabila kita bersara kelak, siapa yang akan menggantikan kita?” katanya.

Beliau berkata usaha tersebut amat penting bagi memastikan UKM sentiasa mempunyai barisan pemimpin yang kompeten daripada kalangan ahli akademik serta Pegawai Pentadbiran dan Profesional (P&P) yang berkeupayaan menerajui universiti pada masa hadapan.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Sufian, pembangunan kepimpinan tidak boleh berlaku secara kebetulan atau bersandarkan nasib semata-mata, sebaliknya ia perlu disokong melalui program latihan yang berstruktur bagi melengkapkan bakal pemimpin dengan kemahiran pengurusan, komunikasi, diplomasi, serta keupayaan membuat keputusan berimpak tinggi.

“Kebanyakan daripada kita sebelum ini hanya ‘cuba-cuba’ menjadi pengurus tanpa latihan khusus. Sebab itu, kita amat memerlukan program dan sijil profesional pengurusan secara berstruktur,” jelas beliau.

Beliau turut menjelaskan bahawa setiap peringkat kepimpinan membawa cabaran berbeza yang memerlukan keupayaan bukan sahaja untuk mengurus organisasi, malah mengurus emosi diri, tekanan kerja dan hubungan interpersonal bersama warga universiti secara berkesan.

Dalam pada itu, Naib Canselor turut menyeru agar budaya kerja berpasukan terus dipupuk dan diperkukuh demi memastikan setiap agenda pembangunan UKM dapat direalisasikan dengan cemerlang.

“Kita semua adalah pekerja untuk UKM, bukannya berada dalam pasukan individu A, B, atau C. Kita mesti bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan yang padu,” tegasnya.

Sementara itu, Pendaftar UKM, Zanudin Mohd Daud menjelaskan bahawa Program BeSTARI merupakan antara inisiatif di bawah Pelan Pewarisan Kepimpinan UKM yang dibangunkan bagi mengenal pasti, menilai, dan membangunkan bakat kepimpinan secara sistematik sebagai persediaan kepada pelan penggantian kepimpinan universiti.

Katanya pelan tersebut berfokus kepada tiga teras utama iaitu pembangunan kompetensi, pembangunan potensi, dan pembangunan kerjaya sebagai asas melahirkan pemimpin universiti yang berintegriti dan berwawasan.

Program BeSTARI yang dilaksanakan dengan kerjasama strategik antara Bahagian Pembangunan Bakat (BAKAT-UKM), Jabatan Pendaftar UKM dan AKEPT dan diadakan bagi melaksanakan penilaian kompetensi menggunakan instrumen berpiawai untuk menghasilkan pemprofilan kepimpinan dan pelan pembangunan individu sebagai asas pembangunan barisan pelapis kepimpinan universiti.

Program yang menghimpunkan Pengurusan Tertinggi UKM, dekan, pengarah, pengetua serta pegawai pentadbiran Gred 14 dan ke atas merupakan antara inisiatif strategik UKM dalam memastikan universiti sentiasa mempunyai barisan pemimpin yang kompeten, berintegriti dan bersedia meneruskan kecemerlangan institusi pada masa hadapan.

Leave a Reply