Oleh Murniati dan Siti Aisyah
Foto Izwan Azman
BANGI, 28 Ogos 2026 – Mempertahankan integriti memerlukan keberanian moral yang tinggi, terutama apabila berhadapan dengan pelbagai tekanan dan kepentingan, kata Profesor Ikhtisas Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan, Malaysia (UKM), Tun Dr Tengku Maimun Tuan Mat.
Beliau yang juga merupakan Penyandang Kursi Diraja Tuanku Muhriz dalam Bidang Integriti dan Tadbir Urus Baik berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana ‘Integriti Pemangkin Jiwa Merdeka’ di UKM.
Tambahnya, seseorang yang benar-benar berjiwa merdeka mesti mempunyai ‘tulang belakang’ yang teguh dan prinsip yang utuh serta tidak tunduk atau menggadaikan prinsip kebenaran kerana gentar kepada tekanan daripada pihak atasan.
Kemerdekaan sejati, menurut beliau, bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi merangkumi kebebasan minda untuk berfikir secara rasional tanpa menggadaikan maruah diri demi kelangsungan pangkat dan kedudukan.
Beliau berkata, jiwa merdeka turut bermaksud bebas daripada pengaruh ‘inner circle’ atau kumpulan kecil individu rapat yang mempunyai pengaruh besar terhadap seseorang pemimpin.
“Kumpulan inner circle yang wujud dalam mana-mana organisasi, mampu memberi kesan terhadap nilai integriti pemimpin dan meruntuhkan ruang untuk melaksanakan keadilan.
“Akan wujud konflik kepentingan di mana nasihat yang diberikan oleh ahli inner circle, besar kemungkinan akan bertunjangkan kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu, bukan untuk kebaikan organisasi atau negara.
“Kesannya, pemimpin menjadi alpa kepada realiti kerana terputus daripada masalah sebenar orang bawahan disebabkan hanya mendengar laporan yang indah daripada inner circle,” katanya.
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus merangkap Canselor UKM serta Duli Yang Maha Mulia Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud turut berkenan berangkat ke majlis syarahan ini.
Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai budaya organisasi yang berakar umbi daripada integriti moral, khususnya apabila seseorang berhadapan dengan keputusan yang sukar.
Dalam keadaan sedemikian, katanya, perkara yang betul dan wajar perlu menjadi keutamaan, walaupun keputusan itu boleh menjejaskan kedudukan peribadi atau tidak mendapat sokongan ramai.
“Integriti yang sejati terdiri daripada dua komponen besar; kompas dalaman dan luaran. Kompas dalaman merujuk kepada iltizam dan komitmen mutlak untuk melakukan perkara yang hak pada ketika tiada sesiapa pun melihat kita.
“Kompas luaran pula mencerminkan bagaimana kita mengendalikan diri apabila dihimpit oleh arus campur tangan politik, ditekan oleh pihak atasan, atau ditawarkan habuan kemewahan jangka pendek yang membutakan mata.”
Beliau berkata, kesedaran bahawa setiap perbuatan tidak akan terlepas daripada perhitungan Ilahi menjadi asas kepada pembentukan jiwa merdeka dan integriti seseorang.
Menurutnya, seseorang yang benar-benar berjiwa merdeka tidak akan bertindak dengan cara yang boleh meruntuhkan integriti kerana sentiasa sedar setiap perbuatan akan diperhitungkan. Majlis turut dihadiri oleh Pro-Canselor, YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz dan Tan Sri Datuk Rafiah Salim.

