Lima Pelajar Fakulti Pergigian Sertai Program Komuniti di Bali, Indonesia

Oleh Zainal Asnawi Asyraf

KARANGASEM, (Indonesia), 11 September 2026 – Lima pelajar prasiswazah Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyertai Program Unjani Mengabdi 2026 di Karangasem, Bali, Indonesia, baru-baru ini bagi menjalani khidmat komuniti melaui jalinan kerjasama antarabangsa. 

Program ini bukan sahaja menjadi platform pertukaran ilmu dan pengalaman akademik, malah memberi peluang kepada para pelajar untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti khidmat masyarakat serta penyampaian perkhidmatan pergigian kepada komuniti setempat.

Penyertaan Yaashasvini A/P Moghan, Pradyumna A/P Saravanan, Tracy Wong Pei Shi, Regine Lim Li Juan dan Selene Sigawin Voo Yuan Jia mencerminkan komitmen Fakulti Pergigian UKM dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih holistik melalui pendedahan antarabangsa, interaksi rentas budaya serta pengaplikasian ilmu dan kemahiran pergigian dalam persekitaran komuniti yang sebenar.

Salah seorang peserta, Yaashasvini  menyifatkan penyertaannya dalam program itu sebagai pengalaman yang amat bermakna.

“Program ini bukan sahaja memberi peluang untuk memperluas pengetahuan dan meningkatkan keyakinan dalam memberikan perkhidmatan pergigian, malah membantu saya memahami keperluan kesihatan oral dalam komuniti yang berbeza.

“Saya amat menghargai sokongan Fakulti Pergigian UKM dan UKM Global dalam merealisasikan peluang ini,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Pradyumna menyifatkan program tersebut sebagai platform penting dalam membentuk kemahiran profesional dan semangat kesukarelawanan.

“Penyertaan dalam Program Unjani Mengabdi 2026 memberikan saya pendedahan yang sangat bernilai dalam membentuk kemahiran profesional dan memupuk semangat kesukarelawanan.

“Pengalaman ini turut meningkatkan kesedaran saya terhadap peranan dan tanggungjawab sosial sebagai bakal pengamal pergigian, ujarnya’’

Penglibatan dalam aktiviti tersebut memberikan pengalaman klinikal yang bermakna kepada para pelajar, di samping memperkukuh kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan keupayaan menyesuaikan diri dengan keperluan kesihatan oral dalam komuniti yang berbeza.

Melalui program itu, seramai 1,774 orang pesakit telah menerima rawatan dan perkhidmatan pergigian.

Unjani Mengabdi 2026 turut membuka ruang kepada para pelajar untuk bertukar pengetahuan dan pengalaman bersama rakan antarabangsa, sekali gus memperluas perspektif terhadap amalan pergigian dan penyampaian perkhidmatan kesihatan oral.

Pengalaman yang diperolehi oleh pelajar tersebut selaras dengan usaha melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dari aspek akademik dan klinikal, malah mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab sosial serta keperluan masyarakat.

Penyertaan UKM dalam Program Unjani Mengabdi 2026 turut memperlihat kepentingan mobiliti antarabangsa sebagai medium pengayaan pengalaman pembelajaran serta pengukuhan jaringan strategik antara institusi pendidikan tinggi.

Leave a Reply