Pasukan Futsal UKM Muncul Juara Challenge Cup Kejohanan Futsal Pergigian Malaysia 2026

Oleh Zainal Asnawi Asyraf

BANGI, 14 Oktober 2026 – Pasukan Futsal Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diwakili oleh kakitangan Fakulti Pergigian (FGG) dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah melakar kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Johan Challenge Cup dalam Kejohanan Futsal Pergigian Malaysia 2026.

Kejohanan edisi keenam yang dianjurkan oleh Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Kubang Pasu, Kedah ini menghimpunkan sebanyak 28 pasukan dari seluruh Malaysia.

Penyertaan itu bukan sahaja menyediakan platform untuk menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat, malah turut membuka ruang kepada warga profesion pergigian untuk mengeratkan hubungan serta bertukar pengalaman dalam suasana yang kompetitif dan harmoni.

Pensyarah Pergigian Jabatan Kesihatan Pergigian Keluarga, Fakulti Pergigian, Dr. Muhammad Syafiq Asyraf Rosli berkata kejayaan itu mencerminkan semangat kesukanan, komitmen serta kerjasama berpasukan yang utuh dalam kalangan warga UKM.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan, rakan sekerja serta semua pihak yang telah memberikan sokongan dan dorongan kepada pasukan kami.

“Kejayaan ini merupakan hasil komitmen, kerjasama dan semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh setiap ahli pasukan.

“Semoga pencapaian ini menjadi pembakar semangat untuk kami terus aktif dalam bidang sukan, di samping mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga UKM dan komuniti pergigian di Malaysia,” katanya.

Beliau berharap agar kejayaan tersebut dapat menjadi inspirasi kepada warga UKM untuk terus melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan rekreasi, selaras dengan usaha universiti memupuk kesejahteraan, kecergasan fizikal serta keseimbangan antara tanggungjawab profesional dengan pembangunan diri.

“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih cemerlang pada masa hadapan,” tambahnya.

Leave a Reply