UKM Rancang Perkenal Pensijilan Bahasa Melayu Setara Peperiksaan Bahasa Antarabangsa

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 9 November 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merancang untuk memperkenalkan kursus pensijilan dan peperiksaan standard bahasa Melayu yang setara dengan peperiksaan bahasa antarabangsa seperti International English Language Testing System (IELTS) dan Test of English as a Foreign Language (TOEFL), bagi memperkukuh pengiktirafan serta penggunaan bahasa Melayu pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh berkata inisiatif tersebut bertujuan mewujudkan satu sistem penilaian standard bagi mengukur tahap kompetensi bahasa Melayu, sekali gus menjadikan UKM sebagai pusat peperiksaan bahasa Melayu yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa.

“Sebagai universiti kebangsaan, UKM mahu memastikan bahasa Melayu mempunyai satu sistem peperiksaan standard sebagaimana bahasa Inggeris yang mempunyai IELTS dan TOEFL.

“Melalui inisiatif ini, pelajar antarabangsa yang ingin melanjutkan pengajian di UKM boleh mengambil peperiksaan bahasa Melayu yang diperkenalkan kelak dan berpeluang menulis tesis dalam bahasa Melayu berdasarkan keperluan program pengajian,” katanya.

Beliau berharap agar UKM dapat bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi meneroka penggunaan pensijilan tersebut sebagai salah satu mekanisme penilaian penguasaan bahasa Melayu bagi individu yang memohon kewarganegaraan Malaysia.

“Pada peringkat antarabangsa, pensijilan berkenaan diharap dapat menggalakkan lebih ramai masyarakat dunia mempelajari bahasa Melayu serta menggunakannya sebagai lingua franca dalam komunikasi serantau dan antarabangsa,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, UKM melalui Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) turut menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Aman menerusi pemeteraian LoI bagi melaksanakan pelbagai inisiatif penyelidikan, pendokumentasian dan penerbitan yang memfokuskan kepada warisan Nusantara, bahasa Melayu serta kepimpinan wanita di Alam Melayu.

Pemeteraian LoI tersebut disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Aman, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai usaha memperkukuh kerjasama dalam mengangkat khazanah ilmu, sejarah dan sumbangan tokoh-tokoh wanita dalam pembangunan masyarakat serta negara.

Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh berkata, antara tumpuan utama kerjasama itu ialah pendokumentasian sejarah dan sumbangan kepimpinan wanita di Alam Melayu bagi mengetengahkan peranan golongan wanita yang turut menjadi penggerak penting dalam pembangunan Nusantara.

“Usaha ini juga akan mengangkat ketokohan pemimpin wanita yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat, sekali gus memastikan sejarah serta legasi mereka terus dihargai oleh generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata, Yayasan Aman akan menyediakan dana dan sokongan dokumentasi, manakala ATMA akan menyumbangkan kepakaran penyelidikan bagi memastikan pelaksanaan program tersebut mencapai matlamat yang ditetapkan.

Tambah beliau, inisiatif berkenaan turut bertujuan memperluas penyebaran ilmu kepada ahli akademik dan pemimpin masyarakat supaya mereka lebih memahami sejarah serta perkembangan negara, termasuk mengenali tokoh-tokoh wanita yang telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan Malaysia.

Leave a Reply