Oleh Zainal Asnawi Asyraf
TOKYO, 3 November 2026 – Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraih tiga pengiktirafan dalam 37th Annual Scientific Meeting of the Southeast Asian Association for Dental Education (SEAADE) 2026 yang berlangsung di Institute of Science Tokyo, Yushima Campus, Tokyo, Jepun.
Pencapaian membanggakan ini merangkumi satu anugerah Tempat Pertama bagi kategori Undergraduate Student Oral Presentation serta dua anugerah Pembentangan Poster Terbaik bagi kategori Teaching and Learning Pedagogy and Methods dan Community Engagement Through Dental Education.
Dalam kategori Undergraduate Student Oral Presentation, Chan Yu Xin berjaya meraih Tempat Pertama menerusi pembentangan bertajuk “Dentalox Universe: Development, Validation, and Evaluation of Immersive AI-Supported Proto-Metaverse Oral Health Education”.
Projek ini turut melibatkan Nuraqilah Syahindah, Muadz Hazhar dan Muhammad Taufiq Onn, dengan bimbingan penyelia, Dr. Amirul Faiz Luai.
Menurut Chan Yu Xin, kajian ini mengetengahkan potensi penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan persekitaran digital imersif dalam pendidikan kesihatan pergigian bagi menyediakan kaedah penyampaian maklumat kesihatan mulut yang lebih interaktif dan inovatif.
Tambahnya, pengiktirafan tersebut merupakan pencapaian bermakna yang mencerminkan usaha kolaboratif seluruh ahli kumpulan dan penyelia dalam membangunkan inovasi pendidikan pergigian.
“Pengiktirafan ini merupakan satu penghargaan terhadap usaha dan komitmen seluruh pasukan dalam menghasilkan pendekatan pendidikan kesihatan mulut yang lebih inovatif.
“Pengalaman membentangkan hasil penyelidikan di platform antarabangsa ini juga memberikan peluang untuk kami berkongsi idea, menerima perspektif baharu dan meningkatkan potensi inovasi dalam bidang pendidikan pergigian,” katanya.
Sementara itu, bagi kategori Teaching and Learning Pedagogy and Methods, Prof. Madya Dr. Haslina Rani menerima anugerah Pembentangan Poster Terbaik menerusi kajian bertajuk “Module Development for Personalised Patient Education Using Digital Tools”.
Kajian ini turut dihasilkan dengan kerjasama Prof. Dr. Tuti Ningseh Mohd Dom dan Prof. Madya Dr. Amy Liew.
Penyelidikan tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan modul pendidikan pesakit yang diperibadikan melalui penggunaan teknologi digital bagi menyokong pendekatan pendidikan kesihatan pergigian yang lebih bersasar, sistematik dan berorientasikan keperluan individu.
Satu lagi pengiktirafan diraih dalam kategori Community Engagement Through Dental Education apabila Dr. Nurul Adila Mat Dait, pelajar pascasiswazah program Doktor Kesihatan Awam Pergigian, memenangi anugerah Pembentangan Poster Terbaik menerusi kajian bertajuk “Beyond the Classroom: Enhancing Geriatric Dentistry Education Through Community Engagement”, di bawah bimbingan penyelia, Prof. Madya Dr. Tanti Irawati Rosli.
Kajian ini menekankan penglibatan komuniti sebagai pembelajaran berasaskan pengalaman yang memperkukuh kompetensi pelajar dalam pendidikan pergigian geriatrik serta meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan mulut warga emas.
