Oleh Asmahanim Amir
BANGI, 17 November 2026 – Dua pensyarah muda Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Nadiah Abu dan Ts Dr Chen Ruey Shan melakar kejayaan apabila menerima Anugerah Saintis Muda Negara (ASMN) 2026, semalam.
Prof Madya Dr Nadiah dari Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI) menerima anugerah itu bagi kategori Biologi, manakala Ts Dr Chen dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) menerima anugerah kategori Fizik.
Prof Madya Dr Nadiah berkata beliau menerima pengiktirafan itu menerusi penyelidikan berkenaan vesikel ekstrasel (EV), khususnya dalam bidang kanser kolorektal.
“Penyelidikan saya memfokuskan kepada EV, iaitu zarah bersaiz nano yang dilepaskan oleh sel, termasuk sel kanser.
“Walaupun sangat kecil, EV membawa maklumat penting yang boleh membantu kita memahami bagaimana kanser berkembang,” katanya.
Beliau berkata antara penemuan yang diperoleh daripada penyelidikan itu adalah mengenal pasti molekul dalam EV yang berkaitan dengan ketahanan terhadap kemoterapi serta bagaimana EV boleh mempengaruhi fungsi sel imun.
“Kami juga sedang meneroka potensi EV untuk mengesan kanser melalui ujian darah,” katanya.
Beliau berharap agar penyelidikan itu dapat membantu mengesan kanser lebih awal dan menyumbang kepada rawatan yang lebih berkesan serta bersesuaian dengan setiap pesakit.
“Saya juga berharap pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk saya terus memperkukuh penyelidikan dalam bidang EV, membuka lebih banyak peluang kerjasama serta memberi inspirasi kepada generasi penyelidik muda untuk terus meneroka bidang sains dan menghasilkan penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Dr Nadiah merupakan antara pengasas Malaysian Society for Extracellular Vesicles (MySEV) dan pernah menerima beberapa pengiktirafan berprestij, termasuk Anugerah L’Oréal-UNESCO For Women in Science pada tahun 2022.
Sementara itu, Dr Chen yang menjalankan kajian bertajuk Reka Bentuk Bahan Termaju Melalui Hubungan Struktur-Sifat dan Kawalan Antaramuka untuk Kelestarian Bahan dan Teknologi Tenaga berkata pengiktirafan itu menjadi pemangkin untuk beliau terus menjalankan kajian berimpak tinggi.
Beliau berkata kajiannya itu memberi tumpuan kepada pembangunan bahan berteknologi tinggi dengan memanfaatkan sumber tempatan, termasuk bahan buangan yang boleh diproses semula menjadi produk bernilai.
“Kajian ini merangkumi pembangunan bahan komposit berasaskan biojisim dan plastik kitar semula untuk menghasilkan bahan yang lebih kuat, tahan haba serta mampu melindungi daripada radiasi,” katanya.
Selain itu, penyelidikan tersebut turut meneroka penggunaan mineral tempatan seperti ilmenit dan monazit bagi menghasilkan bahan untuk teknologi tenaga bersih, khususnya sel bahan api oksida pepejal.
“Secara keseluruhannya, penyelidikan ini bertujuan menghasilkan bahan baharu yang lebih berkualiti, mengurangkan pembaziran sumber dan menyokong pembangunan teknologi hijau serta kelestarian negara,” katanya.
Beliau berharap hasil penyelidikan yang dibangunkan dapat diterjemahkan dengan lebih luas kepada penyelesaian yang praktikal, bernilai tambah dan memberi manfaat kepada masyarakat, industri serta negara, khususnya dalam khususnya dalam bidang bahan termaju dan teknologi tenaga yang menyokong kelestarian,” katanya.
ASMN 2026 telah mengiktiraf lima penyelidik muda dalam bidang Biologi, Kimia, Fizik, Kejuruteraan dan Industri atas kecemerlangan serta sumbangan mereka dalam bidang penyelidikan dan inovasi.
Anugerah itu merupakan pengiktirafan kepada saintis muda negara berumur bawah 40 tahun yang melakar kecemerlangan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta sumbangan terhadap kemajuan sains, teknologi dan inovasi (STI).
Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).


