Oleh KOMUNIKASI UKM
BANGI, 21 November 2026 – Seramai 14,311 graduan menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen ke-54 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bermula 21 hingga 30 November ini, di Dewan Canselor Tun Abdul Razak.
Pengisytiharan pembukaan konvokesyen disempurnakan oleh Canselor UKM, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Menurut Naib Canselor, Prof Dr Sufian Jusoh, majlis konvokesyen yang diadakan dalam 17 sidang ini meraikan 876 Doktor Falsafah, 265 Sarjana Kepakaran, 2462 Sarjana, 5158 Sarjana Muda dan 5550 Diploma Pascasiswazah.
Tambahnya, UKM turut memberi gelaran Profesor Emeritus kepada sembilan orang mantan tenaga akademik UKM yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan universiti dan negara.
“Kita juga menyaksikan penganugerahan Anugerah Pelajaran Diraja kepada Wan Ahmad Zuhair Wan Yusoff dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat serta Liviskumar A/L Selvakumar dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan,” katanya.
Beliau berpesan agar para graduan membawa ilmu dan nilai murni yang diperoleh untuk terus belajar, memperbaiki diri serta berbakti kepada masyarakat.
“Teruslah belajar, memperbaiki diri dan berbakti kepada masyarakat dengan tekad yang teguh serta akhlak yang mulia,” katanya.
Prof Sufian berkata, jumlah alumni UKM kini mencecah 268,641 orang.
Jaringan alumni yang meluas dan kuat ini telah memberi sumbangan bererti kepada universiti dan pembangunan negara, jelasnya.

