Oleh KOMUNIKASI UKM
BANGI, 21 November 2026 – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menegaskan integriti perlu menjadi amalan dalam pentadbiran, pengurusan kewangan dan setiap keputusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi memastikan kecemerlangan universiti itu terus dipertahankan.
Titah baginda, Lembaga Pengarah Universiti dan pihak pengurusan UKM telah memulakan pelbagai usaha serta inisiatif baharu bagi memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan mutu pentadbiran.
“Inisiatif ini meliputi penubuhan Jawatankuasa Ad Hoc Tadbir Urus (AHGC) serta melantik perunding bebas bagi menilai amalan tadbir urus UKM.
“Penilaian telah dijalankan selama 32 minggu merangkumi tadbir urus Kumpulan UKM, kewangan dan perolehan. Inisiatif ini mencerminkan kesediaan UKM untuk menerima penilaian secara objektif serta melaksanakan pembaharuan,” titahnya.
Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pengarah Universiti dan pihak pengurusan UKM atas inisiatif yang telah diambil.
Tuanku Muhriz bertitah, kekuatan tadbir urus bukan sahaja bergantung pada struktur dan prosedur, tetapi juga pada nilai yang dihayati oleh setiap warga UKM.
“Budaya kerja UKM hendaklah berteraskan amanah, integriti, profesionalisme, adab dan akauntabiliti. Pembangunan Kod Tatakelakuan UKM (UKM Code of Conduct) dan panduan The UKM Way diharap dapat memperkukuh penghayatan nilai tersebut.
“Beta juga berharap agar pembangunan bakat dan kepimpinan dilaksanakan berasaskan merit, kompetensi dan integriti, dengan setiap pemimpin menunjukkan teladan yang baik dalam melaksanakan amanah,” titah baginda.
Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz yang juga Tunku Pro-Canselor UKM.

