Azizulhasni Awang Terima Ijazah Kehormat, Dilantik Duta Global UKM

Oleh KOMUNIKASI UKM

BANGI, 21 November 2026 – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Sukan) oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan sumbangannya dalam bidang sukan.

Beliau menerima anugerah itu daripada Canselor UKM, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-54 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak.

Pada majlis yang sama, beliau turut dilantik sebagai Duta Global UKM sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) bagi membantu meningkatkan pengiktirafan dan reputasi universiti itu di peringkat antarabangsa.

Naib Canselor UKM, Prof Dr Sufian Jusoh, berkata pelantikan itu sebahagian daripada usaha universiti berkenaan memanfaatkan pengaruh atlet tersohor dunia itu untuk memperkenalkan UKM kepada masyarakat antarabangsa.

“Kita mahu membawa nama baik UKM ke peringkat global dan untuk itu kita memerlukan individu terkemuka yang dikenali di seluruh dunia bagi membawa logo serta nama universiti.

“Jadi, mungkin selepas ini kita akan melihat logo UKM pada jersi Azizulhasni selain beliau turut hadir ke universiti untuk berinteraksi dengan pelajar.

“Pencapaian dan sumbangan beliau bertepatan dengan aspirasi UKM untuk membudayakan kecemerlangan ilmu, memperkasa pembangunan sukan dan melahirkan insan yang menyumbang kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Azizulhasni menyifatkan penganugerahan berkenaan sebagai antara penghormatan tertinggi diterimanya sepanjang lebih 20 tahun bergelar atlet.

“Saya merakamkan penghargaan kepada UKM atas penganugerahan yang amat bermakna ini.

“Saya menerimanya dengan penuh rasa syukur dan rendah hati, serta sebagai amanah untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Leave a Reply