Azizulhasni dilantik Sebagai Duta Global UKM, Bawa Nama Universiti ke Persada Antarabangsa

Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 27 November 2026 – Jaguh berbasikal trek negara, Dato’ (Dr.) Mohd Azizulhasni Awang @ Muda menyifatkan pengiktirafan dan pelantikan beliau sebagai Duta Global Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai satu penghormatan besar serta amanah untuk mengangkat nama universiti itu di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, pengiktirafan tersebut merupakan antara pencapaian paling bermakna sepanjang lebih 20 tahun bergelar atlet profesional, selain menjadi sumber motivasi untuk terus menyumbang kepada pembangunan sukan dan pendidikan negara.

“Ini bukan sahaja satu motivasi kepada saya, tetapi juga satu amanah yang besar untuk membawa nama baik UKM ke peringkat global, khususnya setiap kali saya menyertai kejohanan antarabangsa termasuk Sukan Olimpik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pelantikannya sebagai Duta Global UKM selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Sukan) pada Majlis Konvokesyen ke-54 UKM, di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, di sini.

Menurut beliau, keseimbangan antara bidang sukan dan pendidikan amat penting, khususnya dalam membentuk atlet muda yang bukan sahaja cemerlang dalam sukan, tetapi turut mempunyai asas pendidikan yang kukuh.

Beliau turut menyifatkan usaha UKM menarik lebih ramai atlet muda mendekati dunia pendidikan sebagai satu inisiatif penting dalam melahirkan generasi yang berilmu dan berdaya saing.

“Pendidikan tidak seharusnya terhenti pada satu peringkat usia. Pembelajaran ialah proses sepanjang hayat. Saya sendiri berharap dapat meneruskan pengajian bersama UKM apabila menamatkan kerjaya sebagai atlet kelak,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh berkata pelantikan Azizulhasni sebagai Duta Global merupakan satu langkah strategik universiti dalam memperkukuh penjenamaan dan memperluas pengaruh UKM di persada antarabangsa.

Beliau berkata ketokohan dan reputasi Azizulhasni sebagai atlet bertaraf dunia mampu menjadi platform untuk memperkenalkan UKM kepada masyarakat global, khususnya melalui penyertaan beliau dalam kejohanan sukan antarabangsa.

“UKM memerlukan tokoh yang dikenali di peringkat global untuk membawa nama dan identiti universiti ke seluruh dunia.

“Melalui kerjasama ini, kita mahu masyarakat antarabangsa lebih mengenali UKM dan sumbangannya,” katanya.

Menurut beliau usaha mengantarabangsakan UKM turut selari dengan aspirasi Pelan Strategik TEKAD 57 UKM 2026–2030, yang menggariskan hasrat universiti untuk terus meningkatkan kedudukan dan reputasinya menjelang 100 tahun kemerdekaan negara pada 2057.

“Untuk berjaya, kita perlu mempunyai kekuatan mental, pemikiran kritis dan semangat untuk terus berusaha.

“Kejayaan Azizulhasni merupakan contoh bahawa kecemerlangan memerlukan disiplin, ketekunan dan kesungguhan yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata UKM juga sedang memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, termasuk menerusi inisiatif pengembangan kampus dan hubungan strategik di Qatar, Timor-Leste dan Kenya.

Leave a Reply