Oleh Dr Fitri Fareez Ramli
Pertubuhan Kesihatan Dunia melaporkan sekitar 40 juta orang mengalami gangguan bipolar manakala sekitar 280 juta individu hidup dengan kemurungan di seluruh dunia. Ubat-ubatan merupakan rawatan utama bagi gangguanpenyakit bipolar dan kemurungan yang berada pada tahap keterukan sederhana dan tinggi.
Lithium adalah salah satu ubat yang berkesan untuk merawat gangguan bipolar dan kemurungan yang rintang terhadap ubat-ubatan standard. Walau bagaimanapun, kesulitan dalam pemantauan darah dan kesan sampingan lithium menyebabkan ubat ini tidak menjadi pilihan bagi sebahagian doktor perubatan.
Dalam usaha untuk mencari ubat alternatif, Dr Nisha Singh dan pasukan penyelidik dari University of Oxford telah menjalankan beberapa kajian bagi mencari ubat yang dapat menggantikan lithium. Secara idealnya, ubat pengganti mestilah mempunyai cara kerja yang sama tetapi kesan sampingan yang kurang berbanding lithium.
Saringan terhadap 450 molekul daripada pangkalan data Perpustakaan Perubatan Negara Amerika Syarikat menemukan ebselen sebagai ubat yang dapat merencat sejenis enzim (IMPase) yang penting dalam kitaran inositol, iaitu sejenis molekul yang penting dalam isyarat saraf otak. Kesan lithium terhadap enzim tersebut dilaporkan menjadi salah satu penyebab utama keberkesanan lithium dalam merawat penyakit bipolar dan kemurungan yang rintang terhadap ubat-ubat yang standard.
Kajian lanjut pada haiwan melaporkan ebselen dan lithium mempunyai kesan yang serupa terhadap perubahan molekul otak iaitu peningkatan pengutus saraf serotonin dan penurunan paras inositol dan perilaku haiwan. Kedua-dua ubat tersebut mempunyai kesan anti-kemurungan dan mampu menurunkan impulsif, satu tindakan atau kelakuan yang menjadi salah satu faktor yang dapat meningkatkan dorongan untuk membunuh diri.
Hasil dapatan yang memberangsangkan mendorong Dr Nisha Singh dan Profesor Philip Cowen, yang merupakan Professor Psikofarmakologi di Jabatan Psikiatri, University of Oxford bersama penyelidik-penyelidik dari universiti itu, untuk melakukan kajian lanjut dalam populasi manusia. Fokus utama pada awalnya adalah untuk membuktikan bahawa ebselen mempunyai cara kerja yang sama dan menilai kesan sampingan ebselen dalam populasi sukarelawan yang sihat.
Beberapa kajian yang dijalankan membuktikan bahawa ebselen dapat menurunkan paras inositol pada bahagian otak terlibat dalam pemprosesan emosi iaitu bahagian hadapan otak. Penemuan tersebut selari dengan perubahan pemprosesan emosi yang lebih cenderung untuk memproses ekspresi emosi wajah yang positif berbanding negatif.
Selain itu, ebselen juga dapat mengurangkan impulsif dalam kalangan sukarelawan sihat, manakala kesan sampingan yang teruk tidak ditemukan.
Menariknya, kajian lain turut menemukan penurunan paras inositol pada bahagian otak yang sama dalam populasi pesakit kemurungan yang rintang terhadap ubat-ubatan yang standard. Walau bagaimanapun, perubahan pada pemprosesan ekpresi emosi wajah tidak ditemukan pada populasi ini dan hal ini mungkin disebabkan oleh ubat-ubatan standard telah mengubah pemprosesan emosi wajah walaupun tidak berkesan dalam merawat gejala-gejala kemurungan.
Kajian lain yang dijalankan dalam populasi pesakit dengan gangguan bipolar pula melaporkan penurunan tahap keterukan penyakit pada fasa mania atau hipomania. Hasil dapatan ini menunjukkan potensi ebselen sebagai ubat untuk merawat pesakit bipolar dan kajian lanjut perlu dijalankan untuk mengesahkan keberkesanan ebselen dalam rawatan penyakit tersebut.
Kesimpulannya, kajian kini tidak menyokong potensi ebselen dalam merawat pesakit kemurungan yang rintang terhadap ubat-ubatan standard berdasarkan hasil penemuan pemprosesan emosi yang dijadikan sebagai penanda bio awal untuk keberkesanan sesuatu ubat kemurungan. Walau bagaimanapun, potensi eselen sebagai ubat kemurungan barisan utama masih perlu dikaji.
Sebaliknya, ebselen berpotensi untuk menjadi alternatif rawatan bagi gangguan bipolar. Kajian klinikal yang lebih meluas perlu dijalankan bagi membuktikan keberkesanan ebselen dalam rawatan gangguan bipolar sebelum mendapat kelulusan Badan Regulatori (seperti FDA) untuk dipasarkan.

Dr Fitri Fareez Ramli
Pensyarah Perubatan (Farmakologi)
Fakulti Perubatan
Universiti Kebangsaan Malaysia
