ALUMNI-UKM Tubuh Chapter Alumni China

X’IAN (CHINA), 30 September 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Perhubungan Alumni telah berjaya menubuhkan Chapter Alumni Antarabangsa China di Konsulat Jeneral Malaysia, X’ian, China baru-baru ini.

Penubuhan ini merupakan sebahagian daripada usaha UKM memperkukuh jaringan alumni di peringkat antarabangsa, dengan menyahut cadangan Naib Canselor agar hubungan strategik dengan para alumni terus diperkasa.

Sebelum ini, UKM juga telah berjaya menubuhkan Chapter Alumni Indonesia, dan kini Xi’an dipilih berdasarkan populasi alumni yang aktif, kedudukan strategik serta kerjasama akademik yang semakin berkembang dengan institusi dan industri di China.

Melalui penubuhan ini, alumni dijangka dapat menyumbang kembali kepada universiti dalam pelbagai bentuk termasuk kepakaran, dana, serta jaringan strategik.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, penubuhan Chapter Alumni China dijangka akan menjadi jambatan strategik dalam memupuk hubungan erat antara universiti, alumni dan pelbagai pihak berkepentingan di China, sekaligus mengukuhkan peranan UKM sebagai universiti watan yang berdaya saing di persada global.

Beliau berharap agar inisiatif penubuhan Chapter Alumni China itu menjadi pemangkin dan rujukan kepada penubuhan chapter alumni UKM di negara-negara lain.

Majlis pelancaran Chapter Alumni China turut diserikan dengan kehadiran seramai 90 tetamu yang terdiri daripada Konsul Jeneral Malaysia di X’ian, delegasi UKM yang disertai oleh Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Dr. Roslan Ja’afar dan Timbalan Pengarah (Aktiviti dan Jaringan) Pusat Perhubungan Alumni,  Dr. Syajarul Imna Mohd Amin.

Delegasi UKM turut mengadakan Jejak Alumni serta lawatan rasmi ke beberapa universiti terkemuka, termasuk Xi’an Jiaotong University, Xi’an University of Finance and Economics, dan Xidian University untuk menandatangani Surat Hasrat (LoI) yang membuka peluang kerjasama akademik dan penyelidikan di masa hadapan.

Delegasi UKM juga mengambil bahagian dalam Eurasian Economic Forum 2025, sebuah forum antarabangsa yang menghimpunkan tokoh ekonomi, akademik dan industri dari seluruh Eurasia.

Leave a Reply