Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman
BANGI, 23 Disember 2025 — Arena e-Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBoR) bagi kategori Most E-sports Arena Facility in a University.
Fasiliti yang terdapat di Arena e-sukan UKM termasuklah PC gaming berspesifikasi tinggi, konsol PlayStation 5 (PS5), peranti Virtual Reality (VR), simulator perlumbaan kereta dan golf, serta pelbagai platform permainan komputer dan konsol.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman berkata pengiktirafan ini mejadi wadah pemerkasaan bakat e-sukan dalam kalangan warga universiti.
“Arena ini dilihat sebagai satu platform bagi mahasiswa dan warga UKM untuk mengembangkan minat serta mengasah bakat dalam e-sukan.
“E-sukan juga merupakan aktiviti yang semakin mendapat tempat dalam generasi muda dan kini dipertandingkan di peringkat antarabangsa.
“Jadi, dengan kewujudan arena ini, saya harap ia dapat jadi pemangkin untuk UKM melahirkan lebih ramai atlet e-sukan,” katanya.
Tambah beliau, penglibatan pelajar dalam e-sukan juga memberi manfaat dari sudut kesihatan mental.
“Melalui aktiviti ini, pelajar dapat melepaskan tekanan dan mengurangkan stres daripada sesi pembelajaran.
“Arena sukan yang terletak di Aras 1, Bangunan Pusanika ini diharapkan menjadi daya tarikan yang selamat dan kondusif untuk kemudahan semua pelajar.
“Hal ini sekali gus memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka berada di tempat yang selamat,” katanya.
Menurut Prof Dr Norinsan, Arena e-Sukan UKM merupakan yang pertama seumpamanya dalam kalangan universiti awam.
Jelasnya, arena ini juga aktif menganjurkan kejohanan dan program latihan melibatkan pelbagai agensi di Malaysia dengan sokongan Majlis Perbandaran Kajang.

