Oleh Haiqal Rawlins
Foto oleh Ikhwan Hashim
ASEAN Art Festival 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh warna di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), selepas lima hari meraikan kepelbagaian seni dan budaya serantau bertemakan “Diversity in Rhythm and Heritage.”
Festival anjuran Pusat Kebudayaan Universiti, Artisukma UKM, Againstar Sdn. Bhd. dan Dewan Bahasa dan Pustaka, dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) ini menjadi platform merapatkan hubungan budaya ASEAN melalui pertukaran idea, kolaborasi kreatif dan persembahan rentas sempadan.
Edisi kali ini menghimpunkan penyertaan dari Thailand, Kemboja, Vietnam, Indonesia, Brunei Darussalam, Filipina dan Malaysia, dengan China sebagai jemputan khas. Turut serta ialah Kazakhstan, Kanada, India, Perancis, Bangladesh, Jepun dan Korea Selatan sebagai delegasi antarabangsa sempena promosi UKM World Art Festival 2026 yang akan datang.
Sepanjang festival, para peserta disajikan dengan pelbagai acara menarik termasuk pameran seni visual, persembahan muzik dan tarian tradisional, bengkel kreatif, forum seni, pasar seni serta pertunjukan kolaborasi ASEAN dan antarabangsa yang memukau.
Menurut Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), penganjuran ini mencerminkan komitmen UKM dalam memperkukuh diplomasi budaya dan memartabatkan seni sebagai medium penyatuan serantau.
“ASEAN Art Festival 2025 bukan sekadar pentas persembahan, tetapi simbol kebersamaan yang menjalin harmoni antara pelbagai bangsa dan budaya. Tema ‘Diversity in Rhythm and Heritage’ menggambarkan kekuatan budaya yang menyatukan kita melalui ritma, warisan dan kreativiti,” katanya.
Menariknya, festival ini turut memperkenalkan aktiviti lapangan seperti lawatan komuniti ke Perkampungan Budaya Mah Meri, lawatan ke Muzium Negara, bengkel tarian ASEAN serta Pertandingan Nyanyian Lagu Melayu ASEAN yang memperkukuh interaksi sosial dan kefahaman antara budaya di kalangan peserta.
Dengan kehadiran lebih 300 peserta dari dalam dan luar ASEAN, ASEAN Art Festival 2025 bukan sekadar pesta seni. Ia adalah manifestasi semangat perpaduan serantau, kreativiti tanpa batas dan keindahan warisan Asia Tenggara. Festival ini juga meneguhkan peranan Malaysia, khususnya UKM, sebagai hab seni dan budaya serantau yang menghubungkan bakat dan warisan dunia.

