Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahril Dzulkiflee
KUALA LUMPUR, 14 Julai 2026 – The 19th East Asia-Pacific Conference on Structural Engineering and Construction (EASEC-19) yang menghimpunkan lebih 400 peserta dari 24 negara termasuk Jepun, China, Taiwan, Thailand, Indonesia dan Malaysia menjadi platform pakar dan penyelidik profesional kejuruteraan untuk berkongsi ilmu, memperkukuh jaringan kerjasama serta meneroka inovasi baharu dalam bidang kejuruteraan struktur dan pembinaan mampan.
Persidangan selama tiga hari itu memberi tumpuan kepada perkembangan teknologi, peningkatan keupayaan teknikal serta penyelesaian inovatif bagi memastikan infrastruktur negara kekal selamat, berdaya tahan dan mampan.
Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), Dato’ Ar. IDr. Azman Md. Hashim berkata Malaysia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk infrastruktur yang semakin berusia seperti jambatan dan bangunan, sekali gus memerlukan pendekatan baharu dalam memperkukuh integriti struktur.
“Dengan penganjuran persidangan ini, ia menjadi medan untuk pakar industri, akademia dan penyelidik berkongsi pengetahuan serta membincangkan strategi menghadapi cabaran tersebut,” katanya semasa hadir ke EASEC-19, mewakili Timbalan Menteri Kerja Raya.
Beliau berkata persidangan yang disertai oleh peserta dari luar negara itu membuktikan kepentingan kerjasama global dalam memajukan bidang kejuruteraan struktur.
Mengulas berkenaan amalan kejuteraan mampan, beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) memberi komitmennya sepenuhnya selaras dengan aspirasi kerajaan.
“Semua projek awam dilaksanakan berpandukan amalan kejuruteraan terbaik serta mematuhi peraturan dan piawaian sedia ada bagi memastikan keselamatan orang ramai sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Tambah beliau, persidangan seperti EASEC-19 turut membuka peluang kepada pegawai agensi itu untuk menilai teknologi dan idea baharu yang dipamerkan, termasuk pemindahan teknologi yang boleh diterapkan dalam projek semasa dan akan datang.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman berkata kerjasama erat antara universiti dan industri amat penting dalam melahirkan jurutera masa depan yang kompeten.
“Universiti sentiasa menyesuaikan kurikulum dengan keperluan sebenar industri bagi memastikan graduan memiliki pengetahuan dan kemahiran yang relevan.
“Penggunaan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dan analisis data dalam meningkatkan keselamatan, integriti serta kecekapan struktur mampu membantu mengurangkan risiko, melindungi keselamatan pengguna dan menyokong pembangunan negara yang lebih mampan,” katanya.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Dato’ Ir Yusuf Abd Wahab berkata CIDB sebagai badan peneraju industri pembinaan sentiasa memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan bagi menggalakkan penggunaan teknologi pembinaan moden serta kaedah pembinaan yang lebih lestari.
Beliau berkata, penyertaan dalam persidangan EASEC-19 membolehkan CIDB mempelajari pengalaman dan penemuan terkini daripada profesor, penyelidik serta penggiat industri dari seluruh dunia, selain meneliti teknologi inovatif yang dipamerkan oleh peserta pameran.
Menurut beliau, segala pengetahuan dan teknologi baharu itu akan dikongsi bersama kontraktor tempatan bagi menggalakkan pelaksanaan projek pembinaan yang lebih mesra alam tanpa menjejaskan pembangunan negara.
“Usaha ini sejajar dengan peranan CIDB untuk memastikan sektor pembinaan Malaysia berkembang secara mampan, memelihara alam sekitar dan pada masa yang sama menyokong pembangunan ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

