ESG Kini Agenda Nasional, Perlu Komitmen Semua Pihak

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim dan Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 28 Julai 2026 — Agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bukan lagi menjadi tanggungjawab satu sektor semata-mata, sebaliknya telah menjadi agenda nasional yang memerlukan komitmen dan tindakan bersama.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof berkata daya saing sesebuah negara tidak lagi diukur semata-mata melalui kadar pertumbuhan ekonomi, tetapi juga melalui keupayaannya membangun secara lestari, berdaya tahan dan inklusif.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak Industri dan Akademik MAPAN ESG 2026yang menghimpunkan pemimpin industri, ahli akademik, pembuat dasar dan pemain sektor perusahaan bagi membincangkan usaha memperkukuh pelaksanaan ESG di Malaysia.

Menurut beliau, ESG telah berkembang menjadi pendekatan strategik yang menentukan keupayaan sesebuah negara untuk kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi global yang semakin kompetitif.

“Negara yang gagal menyesuaikan diri dengan perubahan ini berisiko kehilangan pelaburan, menjejaskan daya saing industri dan menghadapi cabaran yang lebih besar dalam menjamin kesejahteraan rakyat.

“ESG merupakan satu kerangka pembangunan yang mampu meningkatkan daya saing negara, memperkukuh daya tahan perniagaan, meningkatkan keyakinan pelabur dan pada masa yang sama memastikan pembangunan yang kita nikmati hari ini tidak mengorbankan kepentingan generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga telah merangka dasar strategik termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Dasar Keusahawanan Nasional 2030 serta Kerangka Ekonomi MADANI, bagi menyokong transformasi negara ke arah ekonomi rendah karbon, berteknologi tinggi dan lebih berdaya tahan.

Selain itu, beliau berkata kejayaan peralihan hijau bergantung kepada keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang merangkumi kira-kira 97 peratus daripada keseluruhan perusahaan di negara ini untuk bergerak seiring dengan transformasi berkenaan.

“ESG perlu dilihat sebagai instrument strategik negara untuk memperkukuh daya saing PMKS, meningkatkan akses kepada pembiayaan dan pasaran, serta memastikan peralihan kepada ekonomi rendah karbon dilaksanakan secara adil dan inklusif. 

“PMKS yang bersedia menyesuaikan diri akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menembusi pasaran antarabangsa, menarik rakan niaga strategik dan meningkatkan nilai tambah kepada produk serta perkhidmatan mereka,” katanya.

Leave a Reply