Oleh Muhammad Hazriq Hamqa Shaharudin
Foto oleh Nur Fatin Hazwani Dahalin
BANGI, 9 Mac 2026 – Fakulti Undang-Undang (FUU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Bangi menyantuni petugas barisan hadapan di sekitar Bangi dengan memberikan sumbangan juadah sahur melalui program Gendang Sahur Prihatin, baru-baru ini.
Delegasi yang diketuai oleh Dekan FUU, Prof. Dr. Rasyikah Md. Khalid bersama Ahli Parlimen Bangi, Tuan Syahredzan Johan, telah menjelajah ke beberapa lokasi termasuk Wisma Aman UKM, Balai Polis Bandar Baru Bangi, Balai Bomba dan Penyelamat Bangi, serta Unit Kecemasan Hospital Kajang.
Kehadiran mereka bukan sekadar membawa juadah sahur yang ditaja oleh pihak Ahli Parlimen, tetapi ia membawa mesej penghargaan yang tidak berbelah bahagi kepada para petugas barisan hadapan.
Tuan Syahredzan menyifatkan program itu sebagai manifestasi solidariti masyarakat terhadap pengorbanan petugas lapangan.
Menurut beliau, semangat keprihatinan seperti ini harus menjadi budaya yang terus diperkasa demi membina masyarakat yang lebih inklusif dan peka terhadap satu sama lain, terutamanya bagi mereka yang berkorban masa demi tugas negara.
Sementara itu, Prof. Dr. Rasyikah menzahirkan rasa syukur atas kelancaran program tersebut.
“Tahniah atas kejayaan penganjuran program ini. Terima kasih atas usaha, komitmen, dan kerjasama yang diberikan dalam memastikan program berjalan dengan baik.
“Semoga usaha ini diterima sebagai ibadah yang pahalanya berpanjangan, dan semoga ia mengeratkan ukhuwah warga FUU,” ujar beliau.
Beliau turut menekankan bahawa program itu merupakan komitmen nyata fakulti dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Teguh) serta SDG 17 (Kerjasama demi Matlamat) menerusi jalinan erat antara universiti, wakil rakyat, dan agensi keselamatan.
Rata-rata anggota polis, bomba, dan pasukan perubatan yang ditemui menzahirkan rasa terharu serta berterima kasih atas ingatan ikhlas tersebut, yang menjadi suntikan moral bermakna buat mereka.
Program yang penuh dengan nilai kemanusiaan ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan dalam memupuk semangat kebersamaan yang tinggi dalam masyarakat.


