FUU Anjur Townhall CLRC, Pacu Reformasi Undang-Undang Jenayah ke Arah Masa Depan Progresif

Oleh Muhammad Hazriq Hamqa Shaharudin

BANGI, 26 Mei 2025 – Dalam usaha memperkukuh sistem undang-undang jenayah negara agar selari dengan keperluan semasa, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) dengan kerjasama Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan sesi townhall Jawatankuasa Semakan dan Kajian Pembaharuan Undang-Undang Jenayah (CLRC), baru-baru ini.

Program yang dipengerusikan oleh mantan Hakim Mahkamah Persekutuan dan Pengerusi CLRC, Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal itu telah berjaya menghimpunkan lebih 150 peserta dari pelbagai latar belakang termasuk wakil kementerian, agensi penguatkuasaan, badan bukan kerajaan, pertubuhan masyarakat MADANI, ahli akademik serta pelajar.

Kehadiran pelbagai pihak ini menandakan betapa serius dan inklusifnya pendekatan kerajaan dalam merangka dasar undang-undang jenayah yang lebih menyeluruh dan responsif.

Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal berkata reformasi undang-undang jenayah adalah sebuah perjalanan yang memerlukan sokongan padu semua lapisan masyarakat.

“Sesi townhall ini membolehkan kami mendengar suara rakyat secara langsung, memastikan dasar yang dibentuk bukan sahaja relevan, tetapi juga adil dan berkesan,” katanya.

Katanya Townhall CLRC tersebut menjadi platform utama bagi pertukaran pandangan, idea dan cadangan ke arah pembaharuan undang-undang jenayah yang bukan sahaja memenuhi aspirasi rakyat tetapi juga menepati piawaian antarabangsa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Reformasi Undang-Undang), BHEUU JPM, Thiyagu Ganesan dalam pembentangannya telah memperincikan Pelan Tindakan Fasa 1 yang dikenali sebagai “Quick Wins”.

Pelan yang dibentangkan itu menggariskan strategi awal pelaksanaan reformasi undang-undang jenayah yang berimpak tinggi, dengan fokus memastikan kecekapan sistem keadilan jenayah dapat dipertingkatkan secara signifikan dalam tempoh terdekat.

Dalam program yang sama, Pengerusi program townhall, Dr. Ramalinggam Rajamanickam menyatakan bahawa berkata mereka sangat komited untuk melaksanakan reformasi yang pragmatik dan memberi impak segera.

“Pelan Quick Wins ini adalah bukti bahawa perubahan positif sedang bergerak pantas demi keadilan yang lebih inklusif dan cekap,” katanya.

Dekan Fakulti Undang-Undang, Prof. Dr. Rasyikah Md Khalid turut hadir ke program ini.

Sesi townhall ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan yang akan diteruskan dengan penganjuran siri townhall di Sabah dan Sarawak, bertujuan memastikan suara dan pengalaman masyarakat di wilayah-wilayah tersebut turut diangkat dan dipertimbangkan dalam proses pembaharuan dasar undang-undang jenayah negara.

Penekanan terhadap pendekatan yang lebih inklusif, mampan dan progresif ini menggambarkan komitmen kerajaan dalam memastikan sistem undang-undang jenayah sentiasa relevan, adil dan berkesan demi kesejahteraan masyarakat Malaysia secara keseluruhan.

Leave a Reply