InTLEC 2025 Cetus Transformasi Pendidikan Kesihatan: Titik Temu Inovasi, Teknologi dan Klinikal

Oleh Dr Rukiah A Latiff
Foto oleh Fakulti Sains Kesihatan

KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2025 Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melakar sejarah baharu melalui penganjuran sulung International Conference on Teaching and Learning in Health Sciences Education (InTLEC 2025) yang menghimpunkan lebih 150 peserta dari pelbagai institusi termasuk pendidik, penyelidik, pelajar dan pengamal klinikal dari dalam dan luar negara.

Bertemakan “Innovate to Elevate: Bridging Future and Clinical Teaching in Health Sciences”, persidangan ini diadakan bagi mempertingkat kefahaman terhadap inovasi dalam pendidikan kesihatan, mengukuhkan kerjasama antara akademik dan pendidik klinikal, menyediakan platform perkongsian amalan terbaik dan menggalakkan integrasi teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran.

Pro-Naib Canselor Strategi dan Kewatanan, Prof Dato’ Dr Roslee Rajikan dalam ucapan perasmiannya berkata persidangan itu memberi impak yang besar dalam memacu transformasi pendidikan kesihatan melalui pendekatan interdisiplin dan berasaskan teknologi.

Selain itu, katanya InTLEC 2025 juga dapat memperkasa peranan institusi dalam menghasilkan profesional kesihatan yang berdaya saing dan adaptif.

Dalam ucapan itu, beliau turut menekankan keperluan pendekatan pengajaran kesihatan yang berinovasi, inklusif dan berpaksikan teknologi selari dengan perubahan landskap kesihatan global, supaya dapat  melahirkan tenaga profesional yang bersedia untuk cabaran masa depan.

Pada persidangan itu juga, Prof Dato’ Dr Roslee turut melancarkan secara rasmi buku mewah FSK@Media, dokumentasi visual perjalanan fakulti dalam mendepani cabaran pendidikan kesihatan masa kini.

Sementara itu, Pengerusi InTLC 2025, Prof Madya Dr Ismarulyusda Ishak menyifatkanInTLEC 2025 bukan sekadar persidangan ilmiah, tetapi juga merupakan satu langkah bersama untuk membentuk  sistem pendidikan kesihatan yang lebih lestari, responsif dan bersifat masa hadapan.

“Penganjuran InTLEC 2025 lahir daripada komitmen kami untuk memastikan pendidikan kesihatan agar kekal relevan, progresif dan berdaya saing dalam era digital yang semakin mencabar.

“Kami tidak mahu sekadar menghimpunkan pemikiran-pemikiran cemerlang, tetapi mahu mewujudkan ruang kolaboratif yang menyatukan pelbagai suara dan tenaga daripada pendidik, klinisyen dan pelajar, dari pelbagai institusi bagi sama-sama merangka hala tuju  masa depan pendidikan kesihatan yang lebih bersepadu dan berimpak tinggi,” katanya.

Antara pengisian utama termasuk sesi pembentangan oleh pakar, pameran poster, sesi NextGen Classroom iaitu inovasi kaedah pengajaran dan pembelajaran oleh pelajar, dan bengkel pedagogi digital.

Dalam persidangan itu, Prof Dr Vishna Devi V Nadarajah dari Newcastle University Medicine Malaysia menyampaikan ucaptama bertajuk Future-Proofing Health Professionals in the Digital Era, yang menekankan keperluan pendidikan kesihatan berteraskan teknologi, nilai kemanusiaan dan akauntabiliti sosial.

Tiga bengkel pengajaran dan pembelajaran digital turut diadakan iaitu Learn AR in 3 Hours – A Beginner’s Hands-On Workshop, Crafting Interactive Learning Experiences on iPADS dan Simulation Based Learning: Perception and Challenges for Clinical Teaching.

Turut serta sebagai rakan strategik ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan KPJ Healthcare University (KPJU), yang menyatakan komitmen terhadap kolaborasi akademik dalam pendidikan klinikal berasaskan teknologi dan inovasi.

Leave a Reply