Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim dan Izwan Azman
KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan BlackBerry Technology Malaysia Sdn. Bhd. bagi memperkukuh pembangunan bakat dan penyelidikan dalam bidang keselamatan siber dan sistem terbenam (embedded system).
Melalui kerjasama ini, pelajar dan warga akademik UKM akan mendapat manfaat dari aspek latihan, persijilan, penyelidikan serta pemindahan teknologi di dalam bidang keselamatan siber serta pembangunan aplikasi sistem terbenam. Penyelidik dan pelajar UKM akan mendapat manfaat melalui akses kepada program global QNX®️ Everywhere oleh BlackBerry, bagi membangunkan aplikasi sistem terbenam yang boleh digunakan di dalam pelbagai bidang termasuk perubatan dan automotif.
Pengarah Pusat Teknologi Maklumat UKM, Prof. Madya Dr. Mohamad Hanif Md Saad berkata, sebagai contoh; sistem pengoperasian masa-nyata QNX digunakan dalam lebih 255 juta kenderaan di seluruh dunia.
“Ini memberi peluang kepada pelajar kita membangunkan penyelesaian baharu berasaskan sistem yang selamat dan diiktiraf industri.
“MoU ini bukan sekadar kerjasama sehala. UKM mendapat manfaat daripada kepakaran dan teknologi BlackBerry, manakala BlackBerry turut mendapat input akademik serta idea penyelidikan daripada universiti,” katanya.
Tambahnya, kerjasama ini adalah bagi tempoh selama tiga tahun, di mana BlackBerry bersetuju menyalurkan dana sebanyak USD12,500 setahun untuk tujuan penyelidikan bersama.
UKM turut bekerjasama dengan BlackBerry dan Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) dalam melaksanakan program-program yang akan menyasarkan belia-belia daripada latar belakang kurang berkemampuan untuk menjalani latihan keselamatan siber serta kursus etika digital.
MoU ini disempurnakan oleh Naib Canselor, Profesor Dr Sufian Jusoh; Ketua Pegawai Eksekutif Blackberry, John J.Giamatteo; Ketua Pegawai Digital UKM, Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan; dan Senior Vice President, Asia Pacific Sales BlackBerry, Tash Stamatelos.
Ia disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Menteri Perdagangan Canada, Maninder Sidhu.

