Kerjasama UKM dan UOA Hospitality Bina Ruang Rehat Pelajar

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 13 Mac 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoA) dengan UOA Hospitality Sdn. Bhd. bagi mewujudkan ruang rehat pelajar (student’s lounge) di bangunan Praklinikal, Fakulti Perubatan.

Menurut Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat Prof Dato’ Ts Dr Norazah Mohd Nordin, ruang tersebut dibina khas untuk mahasiswa beristirehat sementara menunggu kelas berikutnya, mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan tugasan.

Tambahnya, pihak UOA juga menyediakan tempat penginapan disewa secara jangka masa pendek atau jangka masa panjang oleh mahasiswa UKM dengan harga jauh lebih murah daripada harga pasaran.

“Inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu mahasiswa yang memerlukan tempat penginapan tanpa perlu mengeluarkan belanja yang terlalu tinggi.

“Tambahan pula, mahasiswa Fakulti Perubatan yang kampusnya terletak di Kuala Lumpur sering menghadapi masalah berkaitan kos sewaan rumah yang tinggi.

“Justeru dengan adanya kerjasama ini maka saya pasti sedikit sebanyak masalah ini dapat diatasi,” katanya.

UKM diwakili oleh Prof Dato’ Ts Dr Norazah sementara itu, UOA diwakili oleh Ketua Hospitaliti UOA Hospitality, Dickson Kong Sze. MoU ini disaksikan oleh Dekan Fakulti Perubatan, Prof Dr Abdul Halim Abdul Ghafor dan Pengurus Besar Komune Living and Wellness, Mark Chen. Hadir sama, Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Fakulti Perubatan, Prof Datin Dr Marina Mat Baki dan Pengarah Bahagian Jualan dan Pemasaran UOA Hospitality, Raymond Chua.

Leave a Reply