Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
PUTRAJAYA, 21 Ogos 2025- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Kajian Etnik (KITA) menjalin kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri bagi memperkukuh dasar negara dalam menangani isu-isu kemanusiaan termasuk isu kanak-kanak pelarian tanpa penjaga.
Pengarah Yayasan Canselor, yang menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Ts. Dr. Faizal Mohamed berkata kerjasama yang terjalin itu membuktikan bahawa pendekatan berasaskan ilmu mampu memperkukuh dasar negara dalam menangani isu-isu kemanusiaan yang semakin kompleks seiring perkembangan global yang kian mencabar.
“Isu kanak-kanak pelarian tanpa penjaga dan terpisah bukan sekadar persoalan migrasi seperti yang ramai fikirkan, sebaliknya ia menyentuh persoalan asas kemanusiaan, hak asasi, serta masa depan generasi muda yang semakin terdedah kepada pelbagai risiko di luar jangka.
“Untuk menghadapi cabaran ini, maka UKM sebagai universiti kebangsaan sentiasa mengangkat peranan penyelidikan akademik, penggubalan dasar dan tindakan di lapangan dalam merungkai permasalahan yang timbul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Simposium Alternatif kepada Penahanan untuk Kanak-Kanak Pelarian Tanpa Penjaga dan Terpisah Di Malaysia, di Putrajaya.
Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, beliau percaya pendekatan “Alternatif Kepada Penahanan” atau ATD yang turut dibincangkan dalam simposium tersebut adalah selaras dengan trend global yang menitikberatkan perlindungan, kesejahteraan psikososial dan pembangunan potensi kanak-kanak, tanpa mengabaikan aspek keselamatan negara.
Beliau berharap agar simposium itu dapat menghasilkan resolusi yang bukan sahaja memanfaatkan Malaysia, tetapi juga menjadi rujukan serantau, khususnya dalam kalangan negara-negara ASEAN yang memang telah lama berdepan dengan isu migrasi.
“UKM khususnya melalui Institut KITA yang terserlah mempunyai kepakaran dan reputasi baik dalam kajian migrasi akan terus komited untuk berperanan sebagai institut utama yang berkaitan migrasi dan perlindungan kanak-kanak rentan di negara ini dan juga di rantau ASEAN,” tambah beliau.
Sementara itu, Pengarah Pengasas KITA, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata simposium itu adalah untuk mencari “Alternatif Kepada Penahanan untuk KanakKanak Pelarian Tanpa Penjaga dan Terpisah di Malaysia.”
“Ia adalah suatu usaha rehumanization dengan menemukan pelbagai tokoh dan pakar duduk bersama mencanai otak dan mencambah fikiran berkait tema simposium ini.
“Resolusi-resolusi yang bakal diangkat melalui simposium ini amat berharga, bukan hanya kerana sifat abstrak dan filsafatnya, malah sangat penting dalam usaha menggubal dasar yang boleh dilaksanakan bagi menjadikan hajat rehumanization yang tersulam dalam konsep Madani yang kita sebut-sebut selama ini sebagai satu kenyataan,” jelasnya.
Simposium dua hari itu berjaya menghimpunkan pembuat dasar, ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil, agensi antarabangsa dan komuniti pelarian untuk berkongsi amalan terbaik, pengalaman di lapangan, serta inovasi dalam pembentukan dasar.

