Oleh Dr Afifah Mohamed dan Cik Ain Nur Izzati Mohd Nadzri
Foto oleh Cik Engku Nurul Arifah Engku Hanif
BANGI, 16 Januari 2025 – Seramai 78 pelajar program Pengimejan Diagnostik dan Radioterapi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM500 dan disalurkan kepada Kumpulan Sokongan Kanser Kanak-Kanak (CAKNE) melalui acara larian ‘Roentgen Run 2024’.
Roentgen Run 2024 yang diadakan di bawah bimbingan Dr. Afifah Mohamed dan Dr. Muhammad Safwan Fadzil selaku penasihat program, telah berjaya diadakan di dataran Dewan Gemilang, UKM, baru-baru ini.
CAKNE dengan slogan “Ambil Cakna, Ambil Peduli” didedikasikan untuk membantu kehidupan kanak-kanak yang menghidap kanser dan juga kesan jangka masa panjang. Pemilihan CAKNE sebagai benefisiari bagi larian ‘Roentgen Run 2024’ adalah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pelbagai isu berkaitan kanser dalam kalangan kanak-kanak.
Acara larian yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu larian kompetitif 6KM ‘Scavenger Sprint’ dan larian santai 3KM ‘Scavenger Dash’ ini memberi peluang kepada lebih 250 penyertaan dari pelbagai lapisan masyarakat untuk beriadah sambil menyumbang kepada CAKNE.
‘Roentgen Run 2024’ menandakan satu peristiwa penting dalam mengintegrasikan komuniti kanser kanak-kanak ke dalam masyarakat arus perdana.
Pengasas CAKNE, Mohd Shah Awaluddin terharu dengan inisiatif dan sokongan padu yang diberikan oleh masyarakat dalam usaha memupuk keterangkuman sosial. Larian amal ini dilihat berpotensi meningkatkan kesedaran mengenai cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak penghidap kanser serta memberi sokongan moral dan kewangan kepada keluarga mereka.
Seperti yang kita tahu, kanser bukanlah perkara yang mudah untuk dihadapi oleh orang dewasa apatah lagi oleh seorang kanak-kanak. Seluruh keluarga juga pasti akan turut terjejas lebih-lebih lagi apabila masalah kewangan menghambat kerana kos rawatan yang tinggi dan berterusan.
Meskipun jumlah dana yang diraih daripada ‘Roentgen Run 2024’ adalah kecil, sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membawa perubahan besar kepada kehidupan mereka.
