BANGI, 6 Ogos 2025 — Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan Bengkel Chemical Information Management System (CIMS) dan Classification Tool for Chemical Mixture (CATCH) Tahun 2025 bagi Zon Tengah, baru-baru ini.
Bengkel yang diadakan di Akademia Siber Teknopolis ini diadakan bagi memperkukuh kefahaman dan keupayaan industri dalam mematuhi peruntukan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pengelasan, Pelabelan dan Helaian Data Keselamatan Bahan Kimia Berbahaya) 2013 (CLASS 2013) melalui penggunaan sistem CIMS dan CATCH.
Bengkel ini merupakan kerjasama Public-Private Partnership (PPP) yang melibatkan agensi kerajaan, akademia dan industri.
Seramai 100 wakil industri menghadiri bengkel ini yang mewakili syarikat-syarikat seperti BASF, PETRONAS, Sime Kansai Paint, Henkel, Akzo Nobel Paint, dan Petron.
Sepanjang program, peserta telah didedahkan dengan Sistem CIMS dan CATCH, serta kes pendakwaan yang berkaitan dengan Peraturan CLASS 2013.
Selain itu, sebagai simbol komitmen terhadap budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan, para peserta turut mengangkat Ikrar Integriti Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) bagi menyatakan sokongan kepada cabaran nasional untuk mengumpul sekurang-kurangnya 350,000 ikrar menjelang ASEAN Worker Safety & Health Summit pada 4 Ogos 2025.
Penyertaan aktif ini mencerminkan kesungguhan sektor industri dan akademia dalam membudayakan nilai keselamatan secara menyeluruh di tempat kerja.
Kejayaan bengkel ini telah membuktikan terdapat kerjasama yang erat di antara pihak awam dan swasta, serta peranan universiti yang menterjemahkan hasil penyelidikan yang membawa manfaat kepada pihak berkepentingan.
Bengkel yang dianjurkan oleh LESTARI UKM menerusi Kumpulan Penyelidikan Pengurusan Bahan Kimia (Chemicals Management Research Group, CMRG) mendapat kerjasama daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
CIMS dan CATCH 2025 telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan) JKKP, Ir. Ts. Dr. Majahar Abd. Rahman. Hadir sama Prof. Dr. Jamia Azdina Jamal, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) dan Pengarah LESTARI, Prof. ChM. Dr. Goh Choo Ta.

