Oleh Prof Dr Huda Abdullah, Profesor di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Prof Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad, Pensyarah dan Penyelidik Kanan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Nilai pasaran kosmetik dunia dianggarkan mencecah USD 430 bilion pada 2024 dan dijangka meningkat kepada USD 580 bilion menjelang 2030. Pertumbuhan ini dipacu oleh permintaan terhadap produk semula jadi, halal, serta pengaruh media sosial dan e-dagang, khususnya di rantau Asia Pasifik.
Malaysia merupakan sebuah negara yang dikurniakan kekayaan biodiversiti tropika yang luar biasa. Dengan ribuan spesies tumbuh-tumbuhan herba, rempah ratus, dan bahan semula jadi lain yang telah lama digunakan dalam perubatan dan penjagaan diri tradisional, negara mempunyai potensi yang besar untuk membangunkan industri kosmetik berasaskan bahan semula jadi.
Tambahan pula, Malaysia dikenali di peringkat antarabangsa sebagai peneraju dalam pensijilan halal. Sumber semula jadi dan kepakaran halal mampu meletakkan Malaysia dalam kedudukan strategik untuk muncul sebagai hab kosmetik semula jadi dan halal dunia. Namun begitu, usaha ke arah matlamat ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk kerajaan, industri, institusi penyelidikan serta masyarakat.
Pasaran kosmetik dunia menunjukkan perubahan trend pengguna yang ketara. Kini, pengguna lebih cenderung kepada produk yang mesra alam, bebas bahan kimia yang toksid dan berisiko memudaratkan untuk kesihatan kulit dan dalaman. Tambahan pula, permintaan terhadap kosmetik halal turut melonjak dalam kalangan pengguna Muslim di seluruh dunia.
Pasaran kosmetik halal global dijangka mencapai nilai lebih USD 80 bilion menjelang tahun 2025. Ini memberikan peluang besar kepada negara seperti Malaysia yang telah mempunyai sistem pensijilan halal yang dipercayai dan diiktiraf global melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Kosmetik semula jadi dan halal bukan sahaja memenuhi keperluan pengguna Muslim, tetapi juga menarik perhatian pengguna bukan Muslim yang mengutamakan keselamatan, kebersihan, dan kualiti produk. Produk kosmetik Malaysia yang menepati dua kriteria ini mempunyai potensi untuk diterima di pasaran antarabangsa seperti Asia Barat, Asia Tenggara, Eropah, dan Amerika Utara.
Malaysia telah lama diiktiraf sebagai peneraju dalam ekosistem halal dunia. Sistem pensijilan halal JAKIM merupakan antara yang paling ketat dan menyeluruh, meliputi bukan sahaja pematuhan bahan mentah, tetapi juga proses pengeluaran, pembungkusan, penyimpanan, dan logistik. Dalam konteks kosmetik, pensijilan halal memberi jaminan bahawa produk tidak mengandungi bahan haram seperti alkohol, gelatin haiwan tidak halal, serta tidak dicemari sepanjang proses pengeluaran.
Dengan reputasi ini, pengeluar kosmetik yang memperoleh sijil halal Malaysia dapat memperkukuh keyakinan pengguna dan mengakses pasaran antarabangsa yang menuntut produk halal. Justeru, Malaysia mempunyai peluang untuk menjadi pusat pensijilan, pembuatan dan eksport produk kosmetik halal berasaskan bahan semula jadi yang eksotik dan unik. Malaysia dikurniakan sumber semula jadi yang sangat banyak. Herba dan tumbuhan semula jadi seperti pegaga, bunga cengkih, halia, serai wangi, bunga raya, bunga mawar, daun sirih, daun bidara, lidah buaya, minyak kelapa dan kunyit telah lama digunakan dalam amalan tradisional masyarakat Melayu, Cina dan India. Ramuan-ramuan ini mengandungi khasiat seperti antioksidan dan antiradang yang mampu mencantikkan dan melembutkan kulit, melembapkan rambut, dan melindungi daripada sinaran UV.
Perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) memainkan peranan penting dalam pembangunan industri kosmetik semula jadi. Ramai usahawan wanita dan belia terlibat dalam penghasilan sabun, losyen, serum, skrub badan dan pelbagai lagi produk kecantikan berasaskan herba dan tumbuhan tempatan. Sokongan kerajaan melalui agensi seperti SME Corporation Malaysia (SME Corp), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) dalam bentuk latihan, geran permulaan, pemasaran digital dan bantuan pensijilan adalah sangat diperlukan untuk melonjakkan industri ini ke tahap lebih tinggi. Sekiranya PMKS diberi akses kepada teknologi pemprosesan moden, makmal kualiti dan bimbingan pakar, mereka mampu menghasilkan produk bertaraf antarabangsa yang boleh dieksport secara besar-besaran.
Untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kosmetik semula jadi dan halal dunia, usaha secara sistematik dan berstruktur perlu dijalankan. Antara langkah strategik yang boleh diambil adalah mewujudkan kluster industri kosmetik halal dan semula jadi. Kluster ini boleh merangkumi ladang herba organik, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), kilang pemprosesan Good Manufacturing Practices (GMP), makmal pensijilan, pusat latihan dan inkubator usahawan. Zon industri khusus seperti Halal Park atau Bioeconomy Corridor boleh digunakan sebagai lokasi kluster ini.
Selain itu, penting juga untuk membina jenama nasional yang boleh menjadi ikon kosmetik semula jadi dan halal Malaysia di mata dunia. Usaha ini boleh dicontohi daripada kejayaan negara seperti Korea Selatan yang kini mendominasi pasaran Asia. Malaysia juga perlu membina naratif jenama yang menggabungkan elemen keindahan semulajadi tropika, warisan tradisional dan sains moden.
Namun begitu, usaha perlu dipergiat dalam aspek inovasi produk, pembangunan ekosistem industri, pengukuhan pasaran eksport dan kelestarian. Jika strategi ini dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu, Malaysia bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan negara, malah boleh menjadi peneraju dalam memperkenalkan kecantikan berasaskan alam yang selamat, beretika dan diyakini dunia.