MoU UKM – PDRM Bantu Pegawai PDRM Tingkat Penguasaan Jenayah Siber dan Narkotik

Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 12 Mac 2024 – Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangi oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaksanakan bagi meneruskan program Sarjana Sains Sosial dalam Pengajian Kepolisan dalam membantu pegawai PDRM dalam meningkatkan kepadakan dan penguasaan jenayah siber dan narkotik.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata langkah itu adalah antara usaha PDRM mendepani cabaran berkaitan jenayah terbabit yang disifatkan kian meruncing di negara ini berikutan kelemahan tembok keselamatan (firewall) sehingga berlaku serangan siber hampir setiap hari.

“Perkara (kerjasama) ini penting bagi menjadikan Maktab Polis Kuala Lumpur sebagai hab penyelidikan dan siasatan untuk kedua-dua jenayah tersebut.

“Dalam usaha menjalinkan kerjasama strategik untuk menangani cabaran ini, PDRM bersedia untuk berfungsi sebagai hab penyelidikan dan latihan pembelajaran pencegahan ancaman Keselamatan Siber dan penyalahgunaan bahan (Substance abuse).

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis PDRM Special Dialogue 2024 sempena peringatan Hari Polis Tahun ke-217, di Maktab PDRM yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzi, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata pihak PDRM telah berbincang dengan Menteri Dalam Negeri  untuk menjadikan Maktab PDRM sebagai hab pembelajaran dan penyelidikan jenayah siber termasuk ‘dark web’ (laman gelap) selain narkotik.

“Apa yang kita mahu adalah menghasilkan pakar analisis yang dihantar ke UKM yang boleh mengkaji bahan (dadah) dan dengan itu kita mahu mereka berada di tahap berkepakaran mampu kenal pasti lokasi asal (bahan dadah) sama ada dari Laos, Guatemala atau Mexico berdasarkan bahan berbeza yang digunakan di makmal,” katanya.

Selain UKM, pada majlis itu, PDRM turut memeterai MoU dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). MoU berkenaan ditandatangani oleh Tan Sri Razarudin mewakili PDRM, MCMC diwakili pengerusinya Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din manakala UKM pula diwakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof Dato’ Dr Mohammad Kassim dengan disaksikan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution, Fahmi dan Datuk Mustapha.

Antara lain perjanjian itu melibatkan inisiatif berkaitan siasatan dan penguatkuasaan termasuk pembangunan bersama silibus, selain menyediakan kepakaran iaitu pegawai MCMC, pensyarah UKM atau PDRM sebagai pensyarah atau penceramah untuk latihan dan penyelidikan yang akan dilaksanakan.

Memorandum antara PDRM dan UKM tersebut membolehkan lebih ramai siswazah dalam kalangan anggota polis yang berfikiran kritis dan berkemampuan dilahirkan dengan mengaplikasikan penggunaan sains kepolisan dalam pekerjaan mereka.

Leave a Reply