Oleh Asmahanim Amir dan Raja Nur Aina Raja Hussain Shah
Foto Izwan Azman
BANGI, 22 Mei 2026 – Walaupun belajar dalam bidang bioperubatan, pelajar Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nur Adriyana Fazli bergerak aktif dalam perniagaan tudung sehingga dinobatkan sebagai juara kategori Syarikat Pemula Pelajar Terbaik di Majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi 2025 (AKKPT 2025), baru-baru ini.
Nur Adriyana yang merupakan pelajar tahun empat memulakan perniagaan tudung melalui syarikat pemula Avelia Scarves pada tahun 2021 ketika mula bergelar pelajar di UKM.
“Saya memang minat dunia branding, content creation dan cara sesuatu jenama boleh memberi kesan kepada orang lain. Jadi, saya mulakan perniagaan ini secara kecil-kecilan sahaja.
“Dalam masa yang sama, saya nampak ramai wanita muda mahukan tudung yang cantik dan berkualiti dengan harga mampu milik. Dari situ saya mula belajar sendiri dengan bantuan ayah dan keluarga tentang bisnes, pemasaran dan pengurusan jenama sambil belajar di UKM,” katanya.
Beliau berkata perjalanan perniagaannya tidak mudah kerana dia bermula tanpa mentor, tanpa pengalaman bisnes dan masih ragu-ragu dengan diri sendiri.
“Tapi UKM banyak membuka peluang untuk saya belajar tentang keusahawanan dan perlahan-lahan saya mula yakin dan serius membangunkan Avelia,” tambahnya.
Kata Nur Adriyana, walaupun bidang akademiknya lebih kepada sains dan kesihatan, tetapi dia percaya minat dan potensi seseorang tak semestinya terhad pada satu bidang sahaja.
“Saya lihat Avelia sebagai ruang kreatif saya, tempat saya gabungkan minat terhadap branding, komunikasi dan pembangunan komuniti.
“Sebenarnya belajar dalam bidang sains juga banyak membantu saya dari segi disiplin, pengurusan masa dan cara berfikir secara sistematik dalam mengurus perniagaan,” katanya yang berhasrat untuk menyambung pengajian penyelidikan dalam kesihatan sambil menguruskan perniagaan Avelia sepenuh masa apabila tamat belajar nanti.
Bercerita tentang pembinaan perniagaan tudung tersebut, beliau berkata syarikatnya pernah melalui fasa yang sangat perlahan, terutamanya ketika perlu lebih fokus kepada pelajaran.
“Tetapi bagi saya, fasa itu sangat penting kerana di situlah saya belajar tentang ketahanan, disiplin dan kepentingan untuk terus kekal kreatif walaupun dalam keadaan yang mencabar.
“Sebagai student entrepreneur, saya belajar bahawa untuk terus bertahan, kita bukan sahaja perlukan strategi, tetapi juga kemampuan untuk sentiasa menyesuaikan diri dan mencari cara baharu untuk berkembang,” ujarnya.
Tambah Nur Adriyana, tahun 2026 menjadi satu permulaan baharu untuk Avelia, lebih-lebih lagi dengan bantuan Geran Keusahawanan KPT yang banyak membantu dari segi pemasaran, pembangunan operasi dan pengukuhan jenama.
“Dengan sokongan ini, kami mula bergerak dengan lebih serius ke arah operasi full-time, bukan sahaja untuk mengembangkan Avelia sebagai jenama, tetapi juga untuk terus memberi impak sosial melalui komuniti dan peluang kepada anak muda,” katanya.
Sepanjang perjalanan perniagaan itu, katanya Avelia berjaya memasuki hampir 13 universiti tempatan dan luar negara melalui reruai, kolaborasi dan aktiviti keusahawanan seperti di UKM, Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA dan University of Manchester.
“Selain itu, kami turut membuka peluang keusahawanan kecil-kecilan secara bermusim kepada pelajar universiti untuk sama-sama belajar dan menjana pendapatan bersama Avelia,” katanya.
Sebagai pelajar keusahawanan, beliau berkata pembahagian masa antara belajar dan berniaga adalah antara cabaran terbesar.
“Ada masa saya perlu mengurus assignment, sesi makmal dan peperiksaan, dan pada hari yang sama juga perlu handle customer, siapkan content dan menjaga booth event.
“Saya banyak belajar untuk menyusun keutamaan dan cuba selesaikan satu per satu sebaik mungkin supaya saya tidak terlalu panik atau overwhelmed,” katanya.
Ujarnya, dia bersyukur kerana perjalanan itu akhirnya membawanya memenangi tempat pertama bagi kategori yang dipertandingkan dan menerima pelbagai peluang daripada UKM dan KPT.
“Bagi saya, pencapaian itu bukan sekadar tentang bisnes, tapi bukti bahawa pelajar juga mampu membina sesuatu yang bermakna walaupun bermula kecil dan penuh keraguan,” katanya.
Seorang lagi pelajar UKM dari Fakulti Pengajian Islam, Nor Farhatul Fairuzah Panut turut menerima pengiktirafan atas sumbangan dan pencapaian beliau melalui kategori Platform Digital Graduan Terbaik.
Nor Farhatul Fairuzah merupakan tokoh muda yang tersohor dalam bidang tilawah Al-Quran dan pernah mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai Johan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa pada tahun 2019.

