Oleh Dr Farah Wahida Ibrahim
KUALA LUMPUR, 21 Julai 2025 – Seorang pelajar Doktor Falsafah (PhD), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Amirul Hafiz Ahmad Abdullah, melakar pencapaian membanggakan apabila terpilih sebagai salah seorang daripada 43 individu dari seluruh dunia yang dinamakan sebagai ISTAART Ambassador 2025 oleh Alzheimer’s Association International Society to Advance Alzheimer’s Research and Treatment (ISTAART).
Pelantikan Amirul Hafiz yang berkuat kuasa dari April 2025 hingga April 2026 meletakkan beliau sebagai wakil tunggal dari Malaysia dan UKM, serta antara suara penting komuniti penyelidik muda dalam memperjuangkan kesedaran dan penyelidikan berkaitan Alzheimer dan demensia di peringkat global.
Beliau disenarai pendek daripada lebih 200 calon antarabangsa daripada lebih 40 negara. Pemilihannya ini menandakan pengiktirafan terhadap potensi kepimpinan, komitmen advokasi, serta kecemerlangan akademik beliau dalam bidang penyelidikan penyakit neurodegeneratif.
Amirul Hafiz berkata beliau amat bersyukur atas pelantikan itu dan berharap ia dapat membuka lebih banyak peluang kolaborasi rentas negara dalam penyelidikan penyakit Alzheimer.
“Sebagai penyelidik muda, saya melihat tanggungjawab ini bukan hanya sebagai pengiktirafan, tetapi juga satu ruang untuk membawa suara serantau ke pentas global,” katanya.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus meningkatkan kesedaran awam tentang demensia melalui penyelidikan dan komunikasi sains secara terbuka.
Penyelidikan PhD beliau yang bertajuk “Regulasi Tapak Jalan Brain-Derived Neurotrophic Factor (BDNF) dan proBDNF dalam Pengaktifan Piroptosis Gasdermin D (GSDMD) sebagai Biopenanda Awal dalam Perkembangan Penyakit Alzheimer” menawarkan pendekatan baharu terhadap mekanisme awal penyakit Alzheimer, sekaligus menjadi antara faktor yang menyumbang kepada pelantikan beliau sebagai duta ISTAART.
Program ISTAART Ambassador yang diperkenalkan pada tahun 2010 oleh Alzheimer’s Association yang berpangkalan di Chicago telah melantik penyelidik muda dari seluruh dunia menajdi duta yang berperanan untuk memperluas jaringan saintifik dan komuniti ISTAART serta membina kerjasama rentas negara bagi menyokong misi penyelidikan Alzheimer di peringkat global.
Melalui program ini, Duta ISTAART diberi akses eksklusif kepada rangkaian persidangan saintifik anjuran Alzheimer’s Association serta menerima bimbingan peribadi dan latihan pembangunan kerjaya.
Penyelia utama Amirul Hafiz, Dr. Farah Wahida Ibrahim menyifatkan pelantikan itu sebagai satu pencapaian besar yang mencerminkan kualiti penyelidikan dan bimbingan di UKM.
Beliau turut menekankan bahawa penglibatan aktif pelajar dalam platform seperti itu membuka peluang kolaborasi antarabangsa serta menanam nilai kepimpinan dalam kalangan penyelidik muda.
Kejayaan ini bertepatan dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, serta SDG 17: Perkongsian Untuk Matlamat, sekali gus menyerlahkan komitmen UKM dalam mengangkat penyelidikan kesihatan ke pentas dunia melalui kerjasama strategik antarabangsa.


