Pelajar UKM Bawa Pengalaman STEM ke Kampung Orang Asli

Oleh Dr. Umawathy Techanamurthy

LENGGENG, 7 Ogos 2025 – Program STEM-Sosioekonomi dan Pemeriksaan Kesihatan Perubatan Asas yang dianjurkan oleh Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) dan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini di Balairaya Kampung Orang Asli Kolam Air, Negeri Sembilan mendapat sambutan menggalakkan dari komuniti di sekitar kampung tersebut.

Seramai 37 orang pelajar dari komuniti terpinggir iaitu pelajar Orang Asli dan komuniti yang kurang berkemampuan berumur 11 hingga 16 tahun terlibat dengan sesi praktikal projek STEM inklusif berasaskan pengalaman.

Mereka terdiri daripada pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Pantai, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kg. Baru Pantai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Warisan Puteri dan SMK Dato’ Haji Mohd Redza.

Program ini turut disertai oleh 16 orang pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, FKAB dan 11 pelajar sarjana bagi kursus Ekonomi Dasar Sosial, FEP  menjadi sukarelawan program ini. 

Dalam program tersebut, sebanyak tiga modul kit STEM interaktif telah dibangunkan dan digunakan sebagai alat pembelajaran berasaskan pengalaman dan disesuaikan dengan keperluan kumpulan sasaran serta silibus bagi subjek Sains dan Reka Bentuk Teknologi (RBT).

Modul-modul tersebut ialah DIY Vacuum Cleaner Kit, DIY Doorbell dan EcoTech Telegraph: Exploring Electric Messages. Keseluruhan reka bentuk kit turut menekankan penggunaan bahan kitar semula seperti botol plastik, penutup, surat khabar lama dan kotak terpakai, sekaligus meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian dan tanggungjawab kepada alam sekitar dalam kalangan peserta.

Rekabentuk kit STEM inklusif itu juga telah menerima khidmat nasihat dari pakar kit STEM bagi golongan terpinggir, Yen Nguyen Siow, pengasas inisiatif Discovering without Borders, Melbourne Australia.

Beliau aktif mempromosikan pembelajaran praktikal STEM untuk komuniti yang kurang berkemampuan dan terpinggir di Melbourne, Australia dan turut berkongsi khidmat nasihat kepada sukarelawan UKM.

Selain aktiviti STEM, peserta juga telah diberikan peluang untuk mencuba dua set Virtual Reality (VR) untuk mendedahkan meningkatkan minat mereka terhadap kecerdasan buatan dan teknologi VR oleh pihak Soqqle Pvt. Ltd., Hong Kong.

Rata-rata pelajar-pelajar UKM yang terlibat sebagai sukarelawan dalam program ini menekankan pentingnya mempromosikan STEM sejak usia awal sebagai mekanisme mengurangkan jurang sosial khususnya di kawasan luar bandar.

Pengalaman itu mengasah kemampuan mereka untuk memudahkan konsep STEM yang kompleks dan membina empati melalui interaksi dua hala dengan pelajar luar bandar.

Semua penduduk yang hadir turut diberi pemeriksaan kesihatan asas yang dilaksanakan oleh 13 sukarelawan dari Malaysian Red Crescent Society (MRCS).

Leave a Reply