Melaka, negeri kecil yang kaya dengan sejarah, terus memainkan peranan penting dalam sektor pelancongan negara. Setiap tahun, negeri ini mencatat keuntungan ekonomi yang signifikan hasil daripada keunikan landskap warisannya. Di sebalik saiznya yang terhad, Melaka telah berjaya memposisikan dirinya sebagai destinasi utama pelancongan budaya, dengan limpahan manfaat ekonomi turut dirasai oleh masyarakat tempatan, daripada penjaja jalanan, pengusaha inap desa, sehinggalah kepada karyawan warisan.
Namun, pencapaian ini tidak berlaku secara kebetulan. Seawal tahun 1977, beberapa struktur ikonik seperti Pintu Gerbang Santiago, runtuhan Kota A Famosa dan Bangunan Stadthuys telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan. Pewartaan ini merupakan langkah dasar yang strategic bukan sahaja menyelamatkan struktur fizikal, tetapi juga menjamin kesinambungan nilai, identiti dan memori kolektif rakyat Melaka. Pewartaan tersebut telah membuka ruang untuk pendekatan pelancongan lestari yang berteraskan warisan, sekali gus mengukuhkan jaringan ekonomi setempat.
Namun, kebimbangan timbul apabila kerajaan Persekutuan kini merancang untuk melaksanakan Akta Pembaharuan Semula Bandar (Urban Renewal Act – URA). Walaupun inisiatif ini bertujuan untuk memperbaharui kawasan bandar yang usang dan mempertingkatkan prasarana, pelaksanaannya yang tidak berlandaskan prinsip kelestarian warisan boleh mengundang risiko besar kepada bandar-bandar bersejarah seperti Melaka, Taiping, atau Kuala Kangsar.
Sejarah telah menunjukkan bahawa pembaharuan bandar tanpa perancangan bersepadu boleh membawa kepada kehilangan identiti bandar. Di beberapa negara, dasar pembaharuan yang terlalu berpaksikan pemodenan telah menyebabkan kampung warisan, kawasan tradisional dan tapak bersejarah dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan komersial. Apakah Malaysia juga ingin terus menempuh jalan yang sama?
Kita perlu melihat semula nilai yang telah diwujudkan oleh pemeliharaan warisan di Melaka. Warisan tidak harus dilihat sebagai penghalang pembangunan, tetapi sebagai aset strategik. Kajian menunjukkan bahawa pemuliharaan warisan berupaya mencipta kesan berganda terhadap ekonomi tempatan, memupuk rasa kekitaan, dan memperkukuh kohesi sosial. Di Melaka, kawasan sekitar monumen yang diwartakan bukan sahaja menjadi tumpuan pelancongan, malah turut berfungsi sebagai ruang mencari rezeki masyarakat setempat.
Namun begitu, draf pelaksanaan PSB masih belum memperlihatkan pendekatan yang menyeluruh dalam menilai impak sosial, budaya dan identiti fizikal setempat. Ketiadaan mekanisme penilaian impak warisan, konsultasi awam yang inklusif, dan pelan mitigasi komuniti berisiko boleh menyebabkan pembaharuan yang dilaksanakan bakal menghakis nilai-nilai tempatan yang telah terbina sejak sekian lama. Jika tidak ditangani secara holistik, pembaharuan semula bandar juga boleh menjadi pemangkin kepada peminggiran komuniti dan pemusnahan naratif sejarah.
Maka, sudah tiba masanya pelbagai pihak bekerjasama merangka semula defines jelas dan kukuh pembaharuan semula bandar. PSB perlu beralih daripada model pembangunan berpusatkan pemaju kepada pendekatan yang berpaksikan komuniti dan warisan. Institusi pengajian tinggi seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bersama institusi warisan dan perancang bandar, perlu memainkan peranan aktif dalam menstruktur dasar dan pelan tindakan PSB agar lebih responsif terhadap nilai tempatan.
Salah satu pendekatan yang boleh diketengahkan ialah regenerasi warisan berasaskan komuniti yang menggabungkan pemulihan bangunan lama melalui adaptasi guna semula (adaptive reuse), insentif kepada perniagaan berasaskan warisan, pendidikan komuniti mengenai nilai sejarah, serta reka bentuk ruang awam yang meraikan identiti setempat. Warisan tidak harus dikekalkan dalam bentuk statik, tetapi perlu dihidupkan semula dalam bentuk yang relevan dan kontemporari.
Melaka dan beberapa lagi negeri contoh telah menunjukkan jalan bagaimana warisan boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan yang inklusif dan bermakna. Model ini perlu dijadikan rujukan dalam pelaksanaan PSB agar tidak berlaku ‘pembaharuan yang menghapuskan’ tetapi sebaliknya ‘pembaharuan yang memulih dan menyambung’ antara masa lalu, masa kini dan masa hadapan.
Sekiranya kita gagal melaksanakan PSB dengan penuh ketelitian terhadap kepelbagaian nilai tempatan, kita bukan sahaja berisiko kehilangan warisan fizikal, tetapi juga kehilangan jati diri kebangsaan. Dalam arus pemodenan yang pesat, sesebuah bandar hanya akan terus relevan jika ia mampu mempertahankan memori kolektifnya.

Prof Madya Dr Nor Zalina Harun
Felo Penyelidik Kanan
Institut Alam dan Tamadun Melayu
Universiti Kebangsaan Malaysia
