Oleh Prof Dr Rasyikah Md Khalid
Dekan, Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Penuaian air hujan merupakan satu kaedah yang semakin mendapat perhatian dalam usaha menangani gangguan bekalan air terawat. Proses ini melibatkan pengumpulan dan penyimpanan air hujan untuk kegunaan harian yang tidak memerlukan air terawat seperti mengepam tandas, menyiram pokok, mencuci kenderaan dan membasuh kawasan halaman.
Dari segi ekonomi, semestinya penggunaan air hujan dapat menjimatkan bil air, terutamanya dalam kalangan pengguna domestik. Jika air terawat daripada paip hanya digunakan untuk penyediaan makanan dan minuman serta mandi dan pembersihan diri, sudah tentu bil air akan berkurangan. Maka, ia adalah satu langkah bijak dalam mengurus bil air dirumah dan menangani gangguan air semasa kemarau.
Penuaian air hujan turut memberi manafaat dari sudut alam sekitar, di mana ia membantu mengurangkan risiko banjir kilat dan hakisan tanah. Dengan mengurangkan aliran air hujan ke dalam sistem saliran, tekanan terhadap infrastruktur perparitan bandar juga dapat dikurangkan, termasuk kos baik pulih dan penyelenggaraan.
Penuaian air hujan turut memberi manfaat sosial kerana ia menggalakkan gaya hidup lestari. Masyarakat yang mengamalkan amalan ini menjadi lebih peka terhadap kepentingan menjaga alam sekitar dan menggunakan sumber air secara berhemah.
Pada awal bulan lepas, Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengemukakan cadangan mengenai kaedah memanfaatkan air hujan bagi memastikan bekalan air mencukupi semasa musim kemarau. Hakikatnya, cadangan ini telah dibuat oleh kerajaan pada tahun 2006 selepas musim kemarau yang menganggu bekalan air kepada jutaan penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Kajian perbandingan perlaksanaan penuaian air hujan secara komprehensif telah dibuat oleh konsultan yang dilantik oleh Institut Penyelidikan Hidrologi Kebangsaan atau NAHRIM, manakala pindaan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 atau Uniform Buidling By-Laws (UBBL) telah dibuat untuk mewajibkan Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH).
UBBL telah dipinda untuk mewajibkan SPAH di beberapa bangunan baharu. Undang-undang Kecil 2 UBBL mendefinasikan SPAH sebagai sistem di mana air hujan dikumpul daripada bumbung dan kemudiaannya disalurkan ke tangki-tangki penyimpanan air hujan sebelum digunakan.
Undang-undang Kecil 10 UBBL memasukkan sub-sub-perenggan baharu untuk lokasi tangki air hujan dan elemen SPAH termasuk sistem perpaipan, tangki air hujan, pam air dan sebagainya.
Bagi rumah kediaman, SPAH wajib dipasang untuk rumah banglo dan rumah berkembar yang mempunyai kawasan bumbung bersamaan atau melebihi 100 m2. Bagi bangunan berasingan, SPAH juga wajib jika kawasan bumbung bersamaan atau melebihi 100m2. Alur keluar SPAH hendaklah ditanda “bukan untuk tujuan minuman atau mandian”, manakala paip SPAH hendaklah berwarna hijau.
Secara amnya UBBL adalah satu bentuk kawalan undang-undang bagi penyeragaman spesifikasi bangunan di Semenanjung Malaysia. Namun ia adalah undang-undang kecil yang terhasil daripada Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap negeri.
Maka, apabila Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mencadangkan pindaan terhadap UBBL, setiap negeri perlu meminda UBBL masing-masing bagi pemakaian oleh setiap PBT di negeri tersebut.
Pada tahun 2012, negeri yang telah mengadakan pindaan bagi SPAH adalah negeri Selangor, Perlis, Perak, Melaka, Johor dan Kelantan. Negeri Pahang meminda yang sama pada tahun 2014, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pada tahun 2016, serta negeri Kedah pada tahun 2017. Namun belum ada pindaan di negeri Terengganu.
Oleh yang demikian, pemakaian SPAH masih belum menyeluruh di Semenanjung Malaysia kerana memerlukan persetujuan untuk pemakaian oleh PBT diperingkat negeri. Ini belum mengambilkira samada perlaksanaan pindaan mengenai SPAH dinegeri terbabit dilaksanakan dengan menyeluruh dimana SPAH dipasang pada setiap bangunan baharu dengan bumbung bersamaan atau melebihi 100m2.
Seperkara lagi, masih belum jelas jika cadangan baharu oleh PETRA kelak akan terpakai di semua negeri kerana pemasangan atau penambahbaikan SPAH adalah tertakluk kepada pindaan UBBL di setiap negeri.