Oleh Dr. Salvinder Singh Karam Singh Dan Prof. Ir. Dr. Shahrum Abdullah, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Dalam usaha Malaysia melonjak ke arah negara berteknologi tinggi, peranan pendidikan teknikal dan kejuruteraan menjadi semakin penting. Antara laluan utama dalam bidang STEM yang sering menjadi perbincangan terutamanya di universiti awam ialah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), ataupun program Kejuruteraan, yang mana kedua-dua aliran ini diterapkan di di universiti penyelidikan dan universiti teknikal.
Dalam landskap pendidikan tinggi negara, dua rangkaian universiti awam memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan tenaga kerja dan penyelidikan negara, iaitu Malaysian Research University Network (MRUN) dan Malaysia Technical University Network (MTUN). Walaupun berbeza dari segi pendekatan dan sasaran pelajar, kedua-duanya membawa hala tuju strategik yang saling melengkapi dalam perkembangan bidang teknologi di dalam negara, dan ia bukan satu persaingan.
Sebagai perbandingan, struktur ini seiring dengan sistem pendidikan tinggi Jerman, yang telah lama berjaya mengintegrasikan dua aliran iaitu Universitäten dan Fachhochschulen (University of Applied Sciences) – dalam membangunkan sebuah negara industri dan teknologi yang mapan.
Perbezaan falsafah Universiti Penyelidikan dan Universiti Teknikal
Hala Tuju Universiti Penyelidikan:
- Menjadi pusat kecemerlangan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi dan penerbitan ilmiah.
- Melahirkan pakar akademik dan penyelidik bertaraf dunia.
- Menyokong dasar negara dalam bidang STEM, teknologi maju, kesihatan, tenaga boleh diperbaharui, dan sebagainya.
- Menjalin kerjasama penyelidikan antarabangsa serta memacu pengkormesilan teknologi.
Hala Tuju Universiti Teknikal:
- Menyediakan pendidikan tinggi teknikal berasaskan kemahiran industri, amali, dan praktikal.
- Bertindak sebagai jambatan antara pendidikan TVET dan Kejuruteraan Profesional.
- Menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Teknologi, bekerjasama dengan institusi TVET.
- Meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui pendekatan pengajaran berasaskan industri.
Fokus Utama:
- Menyokong pembangunan negara dalam sektor pembuatan, automasi, tenaga, kejuruteraan mekanikal dan awam.
- Menyediakan laluan naik taraf untuk lulusan TVET (contoh: daripada diploma ke ijazah teknologi).
Meskipun kedua-duanya berkait rapat dengan bidang teknikal, pendekatan, objektif dan hasil pembelajaran bagi kedua aliran ini berbeza dengan ketara.
Fokus Kemahiran vs Teori dan Inovasi
TVET, yang ditawarkan di politeknik, kolej komuniti dan institusi TVET lain, menekankan aspek praktikal dan latihan industri. Pelajar TVET dilatih untuk terus menyumbang kepada pasaran kerja sebagai juruteknik mahir dalam tempoh yang lebih singkat. Kurikulumnya sering dikemas kini selari dengan keperluan industri dan bersifat praktikal.
Manakala, program kejuruteraan berasaskan penyelidikan lebih menumpukan kepada teori, penyelidikan dan pembangunan teknologi baharu. Graduan kejuruteraan bukan sahaja dijangka memahami aplikasi sains dan matematik yang kompleks, tetapi juga berupaya mencetus idea inovasi serta meneroka penyelesaian kepada isu-isu teknikal global.
Universiti Teknikal: Titik Pertengahan?
Universiti teknikal pula sering dianggap berada antara TVET dan kejuruteraan berasaskan akademik. Walaupun menawarkan ijazah kejuruteraan, pendekatan pembelajaran mereka lebih berorientasikan praktikal dengan kerjasama industri yang kukuh. Di Jerman, dua sistem utama telah lama diintegrasikan dengan jayanya. Universitäten seperti Technische Universität München memberi tumpuan kepada penyelidikan dan inovasi, manakala Fachhochschulen atau Hochschule für Angewandte Wissenschaften (HAW) seperti Hochschule Karlsruhe menekankan pembelajaran berasaskan aplikasi dan hubungan erat dengan industri.
Apabila melihat kepada pendekatan setara begini yang berada di Jerman, kedua-dua jenis institusi dihormati dan mempunyai laluan kerjaya tersendiri. Graduan daripada universiti penyelidikan berkhidmat dalam R&D dan sektor strategik, manakala graduan universiti teknikal menyumbang terus kepada pembangunan industri dan kejuruteraan praktikal. Manakala corak begini dapat diperhatikan dalam keadaan sedikit berbeza di Malaysia, melalui MRUN dan MTUN, lebih baik menyusun semula hala tuju yang jelas dan kalis masa hadapan. Usaha ini dilihat selari dengan agenda nasional untuk memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi dan menyokong industri berteknologi tinggi.
Masa Depan MRUN dan MTUN
Ketika ini, kerajaan telah menyuarakan sokongan terhadap penyelarasan lebih strategik antara kedua-dua rangkaian ini. MRUN dijangka terus memperkukuh kedudukannya dalam penyelidikan tempatan dan global, manakala MTUN diposisikan sebagai penyedia utama tenaga kerja teknikal mahir dalam sektor IR4.0 dan seterusnya.
Melalui strategi ini, Malaysia bakal mempunyai ekosistem pendidikan tinggi yang menyeluruh. Ia boleh diibaratkan seperti satu medan yang membina pengetahuan baharu, dan satu lagi yang melaksanakannya dengan lebih efisien dan efektif.
Seperti yang digambarkan oleh satu pepatah daripada seorang sarjana Barat, iaitu “Theory without practice is sterile, but practice without theory is blind.” Maka, Malaysia perlukan kedua-duanya, dan MRUN serta MTUN adalah pelengkap sempurna untuk merealisasikannya.
Perspektif Majikan dan Pasaran Kerja TVET dan Kejuruteraan
Dalam dunia kerjaya masa kini yang semakin mencabar, majikan tidak lagi hanya mencari kelulusan tinggi semata-mata. Sebaliknya, mereka menilai keseimbangan antara kemahiran teknikal, kemampuan menyelesaikan masalah, serta fleksibiliti dalam menghadapi perubahan teknologi. Justeru, graduan dari kedua-dua laluan, iaitu MRUN dan MTUN, memainkan peranan yang berbeza tetapi penting dalam memenuhi keperluan semasa di industry tempatan dan antarabangsa.
Majikan yang berasaskan kepada bidang industri berat, pembuatan dan automasi, seperti dalam sektor automotif, aeroangkasa dan semikonduktor, lazimnya memerlukan graduan MTUN yang sudah dilatih secara praktikal dan boleh menyumbang sebaik sahaja melangkah ke alam pekerjaan. Program di MTUN, yang menekankan latihan industri dan projek berasaskan dunia sebenar, sering menjadikan graduan mereka sebagai calon pilihan dalam sektor pengeluaran dan teknikal.
Dalam masa yang sama, syarikat teknologi tinggi, firma kejuruteraan perundingan dan sektor penyelidikan pula terus bergantung kepada graduan universiti penyelidikan (MRUN) untuk peranan yang memerlukan analisis mendalam, inovasi dan pembangunan teknologi baharu. Graduan ini juga sering dipilih untuk jawatan pengurusan teknikal, R&D atau menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Kesimpulan: Pelengkap, Bukan Pesaing
TVET dan kejuruteraan universiti bukanlah pesaing, sebaliknya pelengkap dalam membangunkan ekosistem tenaga kerja negara. Malaysia memerlukan kedua-dua kategori graduan yang dinyatakan, mereka yang boleh membina dan mereka yang boleh mereka cipta. Yang penting, pelajar dan ibu bapa perlu memahami perbezaan ini agar dapat membuat pilihan yang tepat, sejajar dengan minat, kemampuan dan hala tuju kerjaya masing-masing. Pasaran kerja Malaysia memerlukan kedua-dua jenis graduan yang sejajar dengan kemampuan tinggu untuk mencetus inovasi, melakukan proses reka bentuk, menyelidik dan melakukan kerja-kerja teknikal yang bersesuaian dengan industri. Perbezaan ini bukan satu kekurangan, sebaliknya satu kekuatan sistem pendidikan tinggi kita yang perlu terus diperluas dan diselaraskan dengan keperluan industri masa depan. Maka, jelas diperhatikan bahawa kedua-dua aliran ini adalah saling melengkapi, dan bukannya saling bersaing.

Prof. Ir. Dr. Shahrum Abdullah
Profesor
Fakulti Kejuruteraan Dan Alam Bina
Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Dan Pembuatan
Universiti Kebangsaan Malaysia

Dr. Salvinder Singh Karam Singh
Pensyarah Kanan
Fakulti Kejuruteraan Dan Alam Bina
Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Dan Pembuatan
Universiti Kebangsaan Malaysia
