Projek WaRiSAN MELAYU Perkasa Ekosistem AI Bahasa Melayu

BANGI, 18 Disember 2025 -Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengukuhkan kredibitinya dalam memartabatkan bahasa Melayu apabila melancarkan Projek Wahana Rintis Semantik Ayat Nasional, (WaRiSAN MELAYU) bagi memperkasa ekosistem kecerdasan buatan (AI) Bahasa Melayu.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman berkata WaRiSAN MELAYU adalah usaha strategik dan berpandangan jauh dalam membangunkan ekosistem kolaborasi data Bahasa Melayu yang melibatkan kerjasama ahli akademik, pihak kerajaan, industri dan komuniti yang berwibawa dan berautoriti, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan.

“Dalam dunia yang semakin dipacu oleh kecerdasan buatan, pemprosesan bahasa semula jadi (NLP), dan teknologi digital, bahasa bukan lagi sekadar alat komunikasi, tetapi telah menjadi aset strategik negara.

“Justeru, WaRiSAN MELAYU hadir sebagai wahana penting untuk memastikan Bahasa Melayu tidak tercicir, malah terus relevan dan berdaya saing di peringkat nasional dan global,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Prapelancaran Projek WaRiSAN MELAYU dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini.

Beliau berharap agar Projek WaRiSAN MELAYU itu dapat dilaksanakan secara berterusan, inklusif dan berskala besar, melibatkan pelbagai pihak termasuk universiti, agensi kerajaan, industri teknologi dan masyarakat umum.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof  Dr Sufian Jusoh berkata projek WaRiSAN MELAYU merupakan satu inisiatif strategik yang mencerminkan komitmen UKM sebagai universiti watan dalam menerajui pembangunan ilmu, penyelidikan dan inovasi berteraskan bahasa kebangsaan.

“Projek ini dirangka bagi membangunkan wahana rintis semantik ayat Bahasa Melayu yang berautoriti, sistematik dan berskala nasional, selari dengan keperluan semasa dalam bidang kecerdasan buatan, analitik data bahasa dan pemprosesan bahasa semula jadi.

“Usaha ini bukan sahaja menyumbang kepada pengayaan khazanah linguistik Bahasa Melayu, malah membuka ruang kepada penerokaan baharu dalam bidang teknologi bahasa, pendidikan digital dan penyelidikan rentas disiplin yang melibatkan lima domain utama penyelidikan iaitu Sains dan Teknologi, Bahasa, Perubatan, Pendidikan dan Undang-undang,” katanya.

WaRiSAN MELAYU memberi tumpuan kepada pembangunan Model Bahasa Besar (LLM) Bahasa Melayu berdaulat, berteraskan kolaborasi nasional, kedaulatan data dan konteks tempatan untuk menyokong perkhidmatan awam dan sektor strategik negara.

Dengan peruntukan RM8 juta di bawah Belanjawan 2025 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, ia menandakan komitmen kerajaan untuk memperkasakan AI Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa digital negara.

Dalam majlis itu juga, turut diadakan penandatanganan MoU antara UKM dan DBP yang menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh kerjasama strategik untuk berkongsi aspirasi yang sama, iaitu memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa penyelidikan dan bahasa masa hadapan.

Leave a Reply