Raja Muda Perlis Titah Sokongan Menyeluruh untuk Komuniti Tourette

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

KUALA LUMPUR, 18 Julai 2025 – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar kerajaan serta agensi-agensi berkaitan terus memperkukuh dasar dan memperluas inisiatif sokongan yang lebih menyeluruh merangkumi bidang pendidikan, kesihatan, penyelidikan dan pembangunan sosioekonomi demi kesejahteraan jangka panjang para pejuang Tourette di negara ini.

Baginda turut menyeru masyarakat agar lebih cakna dan inklusif kerana setiap individu berhak untuk berkembang dengan potensi penuh mereka.

“Kesedaran dan sokongan awal amat penting agar mereka sentiasa mendapat perhatian yang sewajarnya.

“Saya amat yakin bahawa setiap individu, tanpa mengira latar belakang mahupun keadaan kesihatan, mempunyai potensi untuk mencapai kecemerlangan.

“Apa yang diperlukan hanyalah peluang yang adil, sokongan yang teguh, serta ruang yang kondusif untuk mereka berkembang dan memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat,” titah baginda.

Titah berkenaan dizahirkan sempena Program Kesedaran Sindrom Tourette anjuran Tourette Association of Malaysia (TAM) dengan kerjasama Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK), Yayasan Bank Rakyat dan beberapa rakan strategik lain.

Sindrom Tourette merupakan gangguan neurologi yang sering disalah anggap. Ia dicirikan oleh pergerakan atau bunyi berulang dan tidak terkawal, dikenali sebagai tic.

Menurut Penaung Tourette Association of Malaysia (TAM), Dato’ Badrul Hanif Ahmad Hadi, kajian menunjukkan bahawa sindrom ini menjejaskan sekitar 0.3 peratus hingga 0.77 peratus daripada kanak-kanak usia persekolahan.

Ini bermakna, dalam setiap 1,000 kanak-kanak, antara tiga hingga tujuh daripadanya mungkin mengalami simptom ini.

Tambah beliau, pihak TAM telah berjaya memperjuangkan permohonan beberapa ahli untuk mendapatkan kad Orang Kurang Upaya (OKU).

Namun begitu, beliau berharap agar sindrom Tourette dipertimbangkan sebagai salah satu kelayakan automatik dalam pendaftaran OKU di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Ini bagi memastikan akses yang adil dan sistematik kepada hak, perlindungan sosial serta intervensi awal yang diperlukan oleh golongan ini dan keluarga mereka.

“Kami percaya bahawa dengan sokongan berterusan daripada kementerian-kementerian berkaitan, terutamanya dalam sektor kesihatan, pendidikan dan pembangunan keluarga, TAM akan dapat memainkan peranan yang lebih aktif dan menyeluruh dalam landskap nasional,” katanya.

Majlis turut menyaksikan penyerahan kad OKU kepada pejuang Tourette oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Leave a Reply