Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 29 September 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima pelajar ‘senior’ berusia 53 tahun bagi mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Antropologi dan Sosiologi di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).
Rahim Ahmad yang merupakan seorang tukang pandai besi di Kraftangan Malaysia tidak menjadikan usia sebagai penghalang untuk melanjutkan pengajian.
“Walaupun saya telah bekerja, berkeluarga dan mempunyai anak yang sedang menuntut di institusi pendidikan tinggi, tapi saya tetap nekad untuk menyambung pengajian bagi menambah ilmu,” katanya ketika ditemui pada hari pendaftaran pelajar baharu sesi 2025/2026, di Kolej Keris Mas.
Bercerita mengenai keputusannya untuk melanjutkan pengajian, Rahim berkata keputusan itu dibuat setelah memikirkan hasrat lebih 30 tahun lepas yang tidak kesampaian.
“Dulu nak sambung belajar susah. Salah satu sebab adalah masalah kewangan. Sekarang anak-anak dah besar, kewangan dan kerjaya makin kukuh, isteri juga sangat menyokong. Jadi, saya ambil semua peluang ini untuk masuk belajar semula,” karanya.
Beliau berkata kerja yang dilakukan sekarang ini adalah bersifat kemahiran. Jadi, dia perlu menambah ilmu sosial agar kerjayanya seiring dengan peredaran semasa.
“Saya bekerja dalam sektor kemahiran (besi). Untuk bidang kerja saya, saya dah ada kemahiran. Mungkin apa yang saya kurang sekarang ini adalah social skill, iaitu method (kaedah) untuk memahami perubahan sosial, proses dan masalah sosio budaya masyarakat.
“Jadi tak salah dalam usia ini saya belajar berkenaan sosio budaya pula,” katanya.
Katanya dia telah bersedia untuk mengikuti pengajian selama tiga tahun setengah bersama anak-anak muda yang hampir sebaya anak sulungnya dan berharap agar perjalanan pengajiannya lancar dan menyeronokkan.
Beliau mempunyai tiga orang cahaya mata iaitu anak sulung adalah penuntut tahun dua di sebuah universiti awam di Lembah Kelang, anak kedua sedang menuntut di kolej matrikulasi dan anak bongsu masih belajar di tingkatan empat.
Rahim Ahmad adalah pelajar baharu yang mendaftar UKM baru-baru ini bersama lebih 4,000 pelajar yang lain.

