Oleh Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman
BANGI, 11 Ogos 2025 – Kumpulan penyelidikan dari Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), The Media Initiative (TMI), telah menganjurkan Bengkel Ujian Penerimaan Pengguna bagi menilai keberkesanan modul rintis bagi program Artificial Intelligence Literacy Empowerment Workshop (AiYOH), baru-baru ini.
AiYOH merupakan salah satu inisiatif TMI yang bertujuan meningkatkan literasi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi di Malaysia agar mereka dapat menguasai kemahiran penggunaan perisian AI secara efektif dan bertanggungjawab.
Ketua Penyelidik TMI, Prof. Madya Dr. Sabariah Mohamed Salleh berkata ujian penerimaan pengguna itu penting bagi menguji kelancaran penyampaian modul, kandungan dan mendapatkan kritikan membina agar modul dapat ditambahbaik sebelum bengkel sebenar dilaksanakan.
“Majoriti peserta memberikan maklum balas positif dan menyatakan bahawa modul yang dibangunkan membantu mereka memahami teknik dan strategi penggunaan AI dalam kerja seharian secara beretika,” katanya.
Menurut salah seorang peserta, Dr Daniella Maryam Mohamed Mokhtar, teknologi AI yang diperkenalkan melalui AiYOH sangat relevan kerana ia membantu untuk melaksanakan kerja dengan lebih efisien.
“Sesi praktikal dan hands-on dalam bengkel ini membuatkan saya lebih faham akan cara-cara mengimplementasi penggunaan AI dalam kerja-kerja penyelidikan, penyediaan laporan dan menyiapkan bahan pengajaran dan pembelajaran,” ujarnya.
AiYOH, yang ditaja oleh Google News Initiative, akan memulakan siri bengkel percuma untuk pelajar di institusi-institusi pengajian tinggi Malaysia mulai bulan Oktober.
TMI turut mengalu-alukan kolaborasi dari ahli akademik dan pensyarah dari semua institusi pengajian tinggi untuk menjadi jurulatih AiYOH.

