Oleh Muhammad Hazriq Hamqa Shaharudin
WALES (UNITED KINGDOM), 21 Julai 2025 – Fakulti Undang-Undang (FUU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh hubungan strategik antarabangsa menerusi lawatan rasmi Naib Canselor ke Aberystwyth University, United Kingdom baru-baru ini.
Lawatan yang diketuai oleh Naib Canselor UKM, Profesor Dr. Sufian Jusoh, adalah kesinambungan kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi yang telah diadakan di Canselori UKM sebelum ini.
Menurut Prof. Dr. Sufian, kerjasama itu bertujuan untuk memperkasakan pembangunan akademik dan penyelidikan, khususnya dalam bidang perundangan dan polisi.
“Lawatan ini merupakan manifestasi kesungguhan UKM untuk terus memainkan peranan aktif di pentas global, sejajar dengan matlamat universiti untuk menjadi pusat kecemerlangan ilmu yang berdaya saing.
“Kerjasama seperti ini bukan sahaja membuka ruang kepada pertukaran kepakaran dan budaya akademik, malah turut mengukuhkan reputasi UKM sebagai universiti penyelidikan terulung di peringkat antarabangsa,” jelas beliau menerusi satu kenyataan di media sosial.
Turut sama dalam lawatan itu ialah Dekan FUU, Prof. Dr. Rasyikah Md. Khalid serta beberapa orang wakil akademik kanan.
Melalui lawatan tersebut, delegasi UKM berpeluang mengadakan sesi libat urus bersama barisan wakil akademik Aberystwyth University bagi membincangkan pelbagai agenda penting yang merangkumi mobiliti pelajar dan pensyarah, reka bentuk kurikulum, serta potensi kolaborasi penyelidikan bertaraf antarabangsa.
Ketibaan delegasi UKM disambut mesra oleh Naib Canselor Aberystwyth University, Prof. Jon Timmis, yang menzahirkan komitmen institusinya dalam memperkukuh hubungan akademik dua hala demi manfaat bersama.
FUU UKM sebelum ini aktif menjalin hubungan antarabangsa melalui pelbagai inisiatif akademik, dan lawatan ini dilihat sebagai satu langkah signifikan dalam usaha memperluas jaringan kerjasama global yang lebih mampan.

