BANGI, 27 November 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengukuhkan kerjasama antara Konglomerat Islam yang boleh dijadikan pemangkin untuk mendominasikan teknologi di peringkat global kepada negara-negara OIC yang lain, kata Naib Canselor, Prof. Dr. Sufian Jusoh.
Beliau berkata UKM bersedia untuk dijadikan pusat kecemerlangan teknologi bagi membantu negara-negara yang mempunyai penduduk minoriti Islam dalam membangunkan kapasiti sains dan teknologi.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Menteri-Menteri OIC bagi Kerjasama Sains dan Teknologi (COMSTECH) yang diwakili oleh Ketua Penyelaras Utama, Prof. Dr. Muhammad Iqbal Choudhary; Penasihat Kanan, Seema A. Khan dan Pengurus Program, Muhammad Haris Akram.
Kunjungan itu membincangkan peranan COMSTECH sebagai pemacu utama kerjasama sains dan teknologi dalam dunia Islam.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut membincangkan kerjasama lain termasuk perkongsian data penyelidikan, program pengkomersialan, dan peningkatan kapasiti penyelidik muda negara-negara OIC.
Kolaborasi yang bermula sejak 2017 antara Instutut Tenaga Suria (SERI), UKM dan COMSTECH dalam penyelidikan tenaga boleh diperbaharui akan diperluas kepada semua bidang penyelidikan di UKM.
Rangka kerjasama terperinci yang merangkumi program latihan, penyelidikan bersama dan perkongsian kepakaran akan dibincangkan dalam pertemuan akan datang bagi merealisasikan visi bersama untuk kemajuan ummah.
COMSTECH merupakan badan OIC yang ditubuhkan bagi mengukuhkan kerjasama sains dan teknologi antara 57 negara ahli, dengan fokus kepada pembangunan kapasiti, penyelidikan dan inovasi.

