UKM di Tangga Teratas dalam Permohonan Paten Tertinggi MyIPO

Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 11 Februari 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus membuktikan komitmen dan kecemerlangannya dalam ekosistem inovasi dan pengurusan harta intelek apabila disenaraikan dalam kedudukan teratas universiti awam (UA) bagi permohonan paten tertinggidi Malaysia bagi tahun 2025.

Berdasarkan data rasmi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), UKM mencatat pencapaian membanggakan dengan menduduki tempat pertama bagi permohonan paten tertinggi dan tempat ketiga bagi permohonan hak cipta tertinggi dalam kalangan UA di Malaysia.

Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Dr Sufian Jusoh berkata kedudukan UKM sebagai institusi dengan pemfailan paten tertinggi mencerminkan keupayaannya menghasilkan teknologi baharu yang bersifat asli, inovatif dan berpotensi tinggi untuk dikomersialkan, sekali gus menzahirkan kekuatan ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) universiti itu.

“Secara keseluruhannya, pencapaian ini mengukuhkan peranan UKM sebagai peneraju inovasi, penyelidikan dan pemindahan teknologi, selari dengan aspirasi negara ke arah pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi,” katanya.

Beliau berkata sebagai sebuah universiti penyelidikan (RU), pencapaian UKM dalam kelompok teratas pemfailan hak cipta menunjukkan tahap kesedaran dan keprihatinan yang tinggi terhadap perlindungan karya intelektual merangkumi bahan akademik, kreatif dan inovatif.

“Kejayaan ini juga adalah tindakan agresif UKM terutamanya Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi (INOVASI@UKM) dalam meningkatkan kesedaran perlindungan harta intelek dalam kalangan warga UKM.

“Selain itu, ekosistem yang dibangunkan oleh IINOVASI@UKM beserta dengan dana RU membantu meningkatkan pencapaian pemfailan,” katanya.

Beliau berkata kedudukan UKM dalam penarafan Bilangan Pemfailan Paten di Malaysia itu adalah hasil daripada ekosistem penyelidikan yang telah menjana banyak hasil kajian yang berinovasi tinggi dan novel.

Leave a Reply