UKM Jalin Kerjasama dengan ERIA dalam Penyelidikan dan Dasar

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim dan Izwan Azman

KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus melangkah jauh dengan mengadakan kerjasama strategik bersama organisasi antarabangsa, Economic Research Institute for Asean and East Asia (ERIA) dalam penyelidikan dan kertas dasar.

Kerjasama ini dilaksanakan melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Naib Canselor UKM, Prof Dr Sufian Jusoh dan Presiden ERIA, TYT Tetsuya Watanabe di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Prof Dr Sufian berkata kerjasama tersebut bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara UKM dan ERIA dalam membentuk dasar-dasar ekonomi, perdagangan dan pelaburan di bawah rangka kerja ASEAN 2025 dan ASEAN Vision 2045.

“Kami bekerjasama rapat dalam menyiapkan beberapa priority economic deliverables bagi pihak kerajaan Malaysia dan ASEAN, termasuk ASEAN Framework for Integrated Semiconductor Supply Chain yang telah diluluskan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN baru-baru ini, serta pembangunan ASEAN EV Battery Passport,” katanya.

Beliau berkata MoU yang ditandatangani itu  membuktikan bagaimana kerjasama antara sebuah universiti nasional dan sebuah institusi dasar serantau mampu merapatkan jurang yang ada.

Menurutnya, kerjasama yang terjalin melalui Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) itu akan meneroka peluang mendalam bagi kerjasama serantau, perdagangan antarabangsa, pelaburan, ekonomi digital, kemampanan, dan inovasi, terutamanya pelaksanaan Wawasan ASEAN 2045, serta prinsip Asia Zero Emission Community (AZEC), termasuklah semikonduktor, perubahan iklim, peralihan tenaga, grid kuasa, automotif kenderaan elektrik, perkhidmatan berkaitan pembuatan dan penyahkarbonan.

Sempena dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, UKM mengambil inisiatif untuk membina jaringan kerjasama erat dengan ERIA dalam perkongsian kepakaran, pengajian sijil professional, kursus pendek, program latihan, penerbitan bersama buku dan jurnal dan penganjuran bersama persidangan dan seminar.

ERIA ialah sebuah organisasi antarabangsa yang berpusat di Jakarta, Indonesia, ditubuhkan melalui perjanjian rasmi oleh 16 Ketua Kerajaan semasa Sidang Kemuncak Asia Timur ke-3 di Singapura pada 21 November 2007.

ERIA bekerjasama dengan Sekretariat ASEAN serta penyelidik dan institusi dari Asia Timur untuk menyediakan kajian dan syor dasar terutamanya berkenaan ASEAN.

Leave a Reply