UKM Kini dalam Kalangan 9 Peratus Universiti Terbaik Dunia

Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 10 Jun 2022Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini berada dalam kalangan 9 peratus universiti terbaik di dunia melalui penarafan yang dikeluarkan oleh QS World University Rankings (QS WUR) 2023 yang diumumkan semalam.

Kejayaan itu menunjukkan UKM berada dikedudukan ke-129 dunia, naik 15 anak tangga berbanding kedudukan ke-144 pada tahun lepas.

Sejak tahun 2014, UKM telah melonjak 140 anak tangga dan sepanjang 10 tahun penilaian dibuat, universiti itu meningkat kedudukannya sebanyak tujuh kali.

Berdasarkan enam indikator yang dinilai iaitu reputasi akademik (40%), reputasi majikan (10%), nisbah pelajar:pensyarah (20%), nisbah sitasi:pensyarah (20%), pensyarah antarabangsa (5%), dan pelajar antarabangsa (5%), nisbah pelajar:pensyarah mencatatkan kedudukan ke-70 dunia.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata penilaian itu dibuat berdasarkan sistem dan proses yang teratur, yang disusun dari segi strategi dan impaknya adalah kepada universiti dan masyarakat.

“Tidak mungkin UKM boleh berada di aras ini jika tidak kerana kesungguhan seluruh warga universiti, semangat bekerjasama, strategi serta berfikir di luar kotak, dan paling utama implikasi kepada kemakmuran masyarakat dan pemegang taruh,” katanya.

Beliau berkata kerja keras yang ditunjukkan oleh seluruh warga UKM yang memahami citra universiti watan itu telah membawa naratif berbeza kejayaan UKM dalam penarafan QS WUR 2023.

“Apa yg penting bukan ranking dan rating tetapi manifestasi daripada kejayaan UKM untuk terus melonjak ke aras lebih tinggi dan diiktiraf oleh penilaian antarabangsa,” katanya.

Kejayaan itu meletakkan UKM berada di kedudukan ke-3 Malaysia selepas Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia.

Leave a Reply