Oleh Muhammad Alif Azri
LUSAIL (QATAR), 2 Februari 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaannya menerusi pelancaran program pensijilan professional dalam bidang keselamatan siber dan AI Quantum dengan kerjasama BlackBerry dan QuantumX Solutions di Qatar. Ini adalah sebagai sebahagian daripada hala tuju strategik pembangunan UKM-Qatar.
Pelancaran program profesional itu merupakan hasil kerjasama strategik antara UKM, BlackBerry dan Quantum-X Solutions GmbH susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak pada 4 November 2025.
Kerjasama tersebut memfokuskan kepada pembangunan kepakaran keselamatan siber dan penggunaan AI, pengurusan risiko digital serta keupayaan cyber resilience yang semakin kritikal dalam landskap teknologi global.
Sebagai pelengkap kepada pelancaran program profesional itu, UKM, Blackberry dan Quantum-X mengadakan dua bengkel Cyber Resilience Workshop sebagai platform perkongsian kepakaran antara akademia dan industri.
Bengkel, yang dihadiri lebih 50 peserta dari universiti dan industri di Doha itu memberi pendedahan langsung kepada peserta daripada sektor awam dan swasta berkaitan cabaran sebenar keselamatan sistem, perlindungan infrastruktur digital serta keperluan teknikal berimpak tinggi dalam persekitaran operasi sebenar, dan cara menggunakan prompt AI dengan cepat dan selamat.
Seorang peserta yang merupakan Ketua Projek Reka Bentuk Sistem dari sektor industri teknikal di Qatar,Akbar berkata bidang reka bentuk sistem dan integrasi langkah keselamatan yang kukuh adalah bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan.
“Saya berminat untuk menyertai program ini kerana ia memberi tumpuan kepada penyelesaian cabaran teknikal khusus pada tahap lanjutan yang dihadapi dalam pelaksanaan tugas harian.
“Penyertaan dalam bengkel ini amat bermakna kerana ia merapatkan jurang antara teori dan amalan, serta menyediakan pendekatan yang relevan dan boleh diaplikasikan secara langsung dalam bidang tugas saya,” kata Akhbar.
Sementara itu, seorang penjawat awam Kerajaan Qatar, Abdulla Ali A H Al-Qahtani menyifatkan program itu tepat pada masanya seiring dengan usaha kerajaan dalam memartabatkan agenda transformasi digital negara.
Menurut beliau, keupayaan cyber resilience merupakan aset penting bagi memastikan operasi kerajaan kekal selamat dan cekap, serta berpotensi dijadikan penanda aras pembangunan profesional dalam kalangan penjawat awam.
“Saya melihat sijil profesional ini sebagai satu aset penting kepada pembangunan tenaga kerja dan saya pasti akan mengesyorkannya kepada rakan-rakan sekerja sebagai satu penanda aras dalam pembangunan professional,” katanya.
Program profesional yang diperkenalkan itu mencerminkan komitmen berterusan UKM dalam memperkukuh peranan UKM-Qatar sebagai platform pendidikan profesional bertaraf antarabangsa, di samping memperluas impak universiti dalam pembangunan bakat keselamatan siber dan cyber resilience yang mampan di peringkat global.

