UKM Terima Anugerah Majikan Prihatin Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan CUEPACS 2023

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

PUTRAJAYA, 1 Mei 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima Anugerah Majikan Prihatin Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan CUEPACS sempena Hari Pekerja 2023.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed kepada Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman pada majlis sambutan Hari Pekerja 2023.

Menurut Mohd Ekhwan, pengiktirafan ini merupakan satu penghargaan yang wajar dijadikan pemangkin pembangunan diri agar seluruh warga kerja UKM terus menjalankan tugas dengan penuh iltizam dan dedikasi.

“Pihak universiti sentiasa berusaha untuk menyantuni dan memenuhi keperluan semua pekerja agar wujudnya budaya kerja positif yang akan meningkatkan prestasi pekerja,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa pihak universiti telah mengambil beberapa inisiatif dalam memastikan kebajikan pekerja terus terpelihara dalam aspek kemajuan kerjaya, pengiktirafan perkhidmatan, keselamatan dan kesihatan pekerja serta sumbangan bantuan.

“Sebagai contoh, UKM telah berjaya mendapat kelulusan daripada Polis Diraja Malaysia bagi menaik taraf anggota keselamatan kepada Polis Bantuan UKM dimana inisiatif ini telah membuka sebanyak 106 perjawatan baharu.

“Selain itu, UKM turut memperkenalkan kenaikan pangkat khas untuk penyandang dalaman supaya setiap staf memiliki peluang yang lebih tinggi untuk dinaikkan pangkat,” katanya.

Tambahnya, UKM juga prihatin terhadap kebajikan staf menerusi kerjasama erat dengan persatuan dan kesatuan staf seperti Kesatuan Kakitangan UKM, Persatuan Kakitangan Akademik UKM, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas, Pembantu Tadbir dan Operasi, dan Persatuan Pesara UKM.

Persatuan ini merupakan satu medium untuk kakitangan menyuarakan pendapat dan memberi pandangan untuk penambahbaikan kualiti perkhidmatan universiti secara menyeluruh, jelasnya.

Di samping itu, penganjuran program Perkhidmatan Perubatan dan Amalan Gaya Hidup Sihat Staf UKM adalah salah satu inisiatif bagi menjaga tahap fizikal dan mental pekerja.

“Selain menyediakan pemeriksaan kesihatan secara percuma, UKM juga mengeluarkan perbelanjaan perubatan untuk kakitangannya sebanyak RM11,700,844.12 pada tahun 2022 yang merangkumi perbelanjaan rawatan perubatan, rawatan jantung, rawatan buah pinggang dan klinik panel.

“Kebajikan staf dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) juga tidak dipinggirkan.

“Sejak tahun 2019, UKM menubuhkan Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU disamping menyediakan Kenderaan Van Mobiliti bagi memudahkan urusan pengangkutan staf OKU ke destinasi yang ingin dituju, terutama sekali ke hospital bagi tujuan pemulihan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata UKM juga sentiasa menjadi tulang belakang dalam membantu kerajaan menyantuni warga kerja universiti yang memerlukan.

“UKM menyambut baik inisiatif Menu Rahmah yang menawarkan hidangan lengkap pada harga serendah RM5 untuk dinikmati oleh seluruh warga universiti di hampir kesemua kafeteria kampus Bangi, Cheras dan Kuala Lumpur,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamad Abd. Razak; dan Pendaftar UKM, Datuk Dr. Syed Kamarudin Hj Sadakkuthulla.

Leave a Reply