UKM Tuan Rumah Mesyuarat MARISK Bil. 1/2026,  Perkukuh Pengurusan Risiko Universiti Awam

Oleh Nurul Syafiqah Yusman
Foto Izwan Azman

BANGI, 12 Mei 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi tuan rumah Mesyuarat Majlis Pengurusan Risiko Universiti Awam (MARISK) Bilangan 1 Tahun 2026 yang berlangsung di Mercu Sarjana, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), baru-baru ini.

Mesyuarat tersebut menghimpunkan seramai 29 wakil pengurusan risiko daripada 20 Universiti Awam (UA) seluruh negara bagi membincangkan pelbagai agenda berkaitan pemerkasaan amalan pengurusan risiko dalam Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Penganjuran mesyuarat ini berperanan sebagai platform strategik dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara UA, khususnya dalam aspek tadbir urus, kesiapsiagaan organisasi dan daya tahan institusi dalam mendepani cabaran semasa.

Selain menjadi medium perkongsian isu semasa dan amalan terbaik pengurusan risiko, MARISK turut berfungsi sebagai penghubung antara UA, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta pihak berkepentingan lain bagi memastikan pelaksanaan pengurusan risiko yang lebih menyeluruh, sistematik dan berkesan.

Pengerusi MARISK, yang juga merupakan Timbalan Pengarah Pengurusan Risiko, Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH), UKM,  Prof. Madya Dr. Mohd Hafizuddin Syah Bangaan Abdullah berkata, MARISK perlu terus memainkan peranan penting sebagai platform strategik yang menyumbang kepada pengukuhan tadbir urus dan kelestarian sektor pendidikan tinggi negara.

“Saya nak melihat MARISK ini terus maju ke hadapan dan menyumbang kepada kelestarian sektor pendidikan tinggi Malaysia,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pengurusan risiko tidak seharusnya dilihat sebagai proses pentadbiran semata-mata, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada budaya kerja dan asas kepada proses membuatan keputusan di universiti.

“Pembudayaan pengurusan risiko perlu diterapkan dalam setiap pembuatan keputusan, terutamanya keputusan strategik,” katanya.

Menurut beliau lagi, keberkesanan pengurusan risiko di universiti hanya dapat dicapai sekiranya ia difahami sebagai tanggungjawab bersama semua pihak, bukan hanya terletak kepada pejabat risiko atau kepimpinan tertinggi universiti semata-mata.

“Pengurusan risiko di universiti ini bukan tanggungjawab pengarah pejabat risiko atau Naib Canselor, tetapi ia merupakan tanggungjawab seluruh warga universiti. Ia tanggungjawab bersama,” katanya.

MARISK juga komited dalam membudayakan pengurusan risiko sebagai elemen penting dalam proses pembuatan keputusan organisasi, di samping memperluas pelaksanaan program pembangunan kompetensi dan kesedaran berkaitan pengurusan risiko secara berterusan dalam kalangan warga universiti.

Pada sebelah petang, turut diadakan Bengkel Hala Tuju Strategik MARISK 2026–2028 yang memberi fokus kepada perancangan pelan tindakan setiap biro di bawah MARISK. Bengkel tersebut bertujuan memperkemas pelaksanaan strategi organisasi agar lebih tersusun, berfokus dan mampu memberikan impak yang lebih menyeluruh kepada Universiti Awam.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan MARISK dalam memperkukuh budaya tadbir urus dan pengurusan risiko yang proaktif serta selari dengan perkembangan semasa sektor pendidikan tinggi negara.

Leave a Reply