Youth Summer Camp Persiap Golongan Belia Hadapi Perubahan Zaman

Oleh Chuah Tiong Li
Foto oleh Kolej Tun Syed Nasir

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – MyFundAction dengan kerjasama Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjayakan Youth Summer Camp (YSC) yang menghimpunkan seramai 50 peserta muda dari seluruh negeri.

YSC diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan, dianjurkan bagi mempersiapkan golongan belia menghadapi arus perubahan zaman, meningkatkan daya kepimpinan, serta menguasai kemahiran penyelesaian masalah secara kritis, kreatif dan inovatif. Program ini juga memberi pendedahan awal kepada pelajar lepasan asasi dan matrikulasi sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam universiti.

Program yang berlangsung dari 27 hingga 31 Ogos 2025 tersebut berteraskan konsep pembangunan belia dengan tema kemerdekaan, sekali gus memberi fokus kepada pemerkasaan kepimpinan, semangat kerjasama, dan pembentukan jati diri generasi muda yang berdaya saing.

Antara pengisian utama ialah forum bertajuk Eagle View: Forum on Student Empowerment yang berlangsung di Dewan Tun Syed Nasir dengan menampilkan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, pelajar siswazah Universiti Teknologi Petronas, Norsyafiqah Salimun dan dikendalikan oleh pelajar Sarjana Muda Komunikasi Media UKM merangkap sukarelawan aktif YOSH MyFundAction, Nur Izzah Norannuar.

Pada 30 Ogos, peserta program mengadakan aktiviti komuniti seperti pemeriksaan kesihatan percuma di Pusat Transit Gelandangan Anjung Kembara, Kuala Lumpur. Aktiviti ini menjadi wadah penting dalam memupuk rasa empati dan semangat kesukarelawanan, di samping menyemai kesedaran tentang kepentingan tanggungjawab sosial terhadap golongan rentan di bandar besar.

Pengetua KTSN,  Prof. Madya Dr. Mohd Razif Shahril berkata program itu bukan sekadar aktiviti belia, tetapi wadah penting membentuk jati diri generasi muda yang berdaya saing, berdisiplin dan peka terhadap tanggungjawab sosial.

“Ia juga membuka ruang kepada mahasiswa untuk memimpin serta menyumbang kepada masyarakat melalui nilai empati dan semangat kerjasama,” katanya.

Wakil Majlis Eksekutif Pelajar, Nurnabilah Huda Epri menyifatkan penyertaan dalam program itu sebagai pengalaman bermakna yang menyuntik keyakinan diri, memupuk kepimpinan, dan memberi kesedaran bahawa belia adalah penggerak utama masa depan negara.

YSC menghimpunkan sukarelawan daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar asasi, matrikulasi, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) serta belia profesional dari seluruh negara, telah menjadikan program itu sebagai wadah penyatuan generasi muda.

Program yang disokong oleh Youth of Strength & Happiness (YOSH), Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi (BHEP, JPT), secara langsung mendukung Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamarataan), SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh) serta SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat Bersama).

Penganjuran ini membuktikan komitmen bersama MyFundAction dan UKM dalam memperkasa pembangunan belia melalui wadah pendidikan tidak formal yang sarat dengan nilai patriotisme, kepimpinan, serta semangat cintakan tanah air menjelang sambutan Hari Kemerdekaan. Habis.

Leave a Reply