Perutusan Naib Canselor

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Warga UKM yang dikasihi,

1) Hilang dalam penilaian… Izinkan saya kongsikan mengenai penilaian prestasi (SPPU 2019) yang selesai baru-baru ini. 75% daripada seluruh warga memperoleh markah 90 ke atas dan 95% mendapat markah 80 dan ke atas. Trend ini hampir sama bagi tahun-tahun sebelumnya. Secara literalnya ia memberi maksud hampir semua orang adalah sangat cemerlang dan mencapai prestasi melebihi jangkaan. 2) Persoalannya… Adakah taburan markah ini gambaran yang tepat kepada apa yang sebenarnya berlaku?

Melihat bagaimana markah diberikan, anda mungkin setuju dengan saya bahawa ia lazimnya diberi secara subjektif dan budi bicara dari penilai. Ianya tidak begitu objektif dan justeru markah tersebut tidak semestinya menggambarkan pencapaian sebenar individu.

Dalam sesetengah kes, bagi kakitangan akademik terdapat ‘penunggang gratis’ yang meletakkan nama mereka dalam penerbitan dan geran tanpa usaha dan sumbangan yang signifikan. Dalam kita menggalakkan kerjasama dan kolaborasi yang tulen, manipulasi dan amalan sebegini harus kita tolak. 3) Kepentingan pengukuran…

William Thompson (Lord Kelvin), saintis hebat yang telah merumus sistem suhu mutlak dan hukum kedua termodinamik dan Peter Drucker, ahli sains sosial tersohor dan digelar bapa pemikiran pengurusan perniagaan moden kedua-duanya mempunyai persamaan iaitu berkongsi mutiara kata yang sama…

“Jika kamu tidak boleh mengukurnya, kamu tidak boleh membaikinya.”

Ia adalah pernyataan mendalam yang menyatukan bidang sains dan sains sosial ke kedudukan yang sama mengenai keperluan pengukuran untuk menjadi lebih baik. 4) Penyelarasan bermula…

Dalam usaha kita untuk memupuk Budaya Prestasi Tinggi, penting bagi kita mengukur prestasi sebenar setiap kakitangan seboleh mungkin dan menyediakan penilaian berdasarkan pencapaian. Ini bakal menjadi platform bagi penambahbaikan berterusan yang penting dalam memacu kecemerlangan.

Berdasarkan prinsip ini, kita telah bermula dengan menambahbaik SPPU sedia ada kepada sistem yang lebih telus, adil, inklusif dan harapnya transformatif. Untuk itu universiti telah memperkenalkan dasar dan struktur baru dalam SPPU 7.0 yang mana telah diedarkan melalui emel (Pekeliling Pendaftar Bil.3/2020) dan juga Portal e-Warga pada 17 Januari lalu. 5) Masa untuk cemerlang…

Gunakan templat fail excel yang diberikan untuk membuat simulasi sasaran pencapaian bagi tahun 2020 dan perhatikan markah yang dijana. Usah sekadar menyasarkan markah minimum. Markah minimum adalah untuk yang ‘biasa-biasa’, kita semua pastinya jauh lebih baik dari itu. Ingat…menjadi baik sahaja tidak cukup, kita ingin menjadi hebat.

Apabila sasaran dan matlamat telah ditetapkan, maka capailah sasaran tersebut. Strategikan langkah anda dan rancang dengan bijaksana. Mari kita usahakan bersama demi UKM. 6) Sepintas imbauan…

Semasa kecil dahulu, dalam perjalanan ke sekolah, kemuncup sering melekat pada stoking saya. Rasanya tidak selesa dan mengganggu. Bapa saya selalu berkata, jangan sibukkan diri untuk mencabutnya. Buang bila sampai ke sekolah nanti. Saya juga ingin berpesan yang sama…

Abaikan kemuncup itu dan teruskan perjalanan anda.

Sekian dahulu dan semoga kita bertemu lagi dalam coretan akan datang. Salam hormat, Prof. Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor Naib Canselor / Vice-Chancellor
31 Januari 2020

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Dua bulan telah berlalu…

Banyak yang telah saya pelajari dan fahami dari lawatan kerja ke sebelas fakulti dan sepuluh institut di samping beberapa PTj utama universiti. Hasil interaksi formal dan sosial dengan pelbagai kalangan juga melengkapkan lagi kefahaman saya terhadap universiti hebat dan bertuah ini.  Saya ingin mengucapkan terima kasih dan sangat menghargai sambutan yang diberi serta kerjasama dan input berharga yang disampaikan ketika sesi lawatan tersebut.

Justeru adalah wajar untuk saya secara ringkas memaklumkan langkah susulan yang telah diambil oleh kepimpinan universiti. Antaranya adalah penubuhan Jawatankuasa Khas bagi memurnikan pelaksanaan penstrukturan fakulti dan pemurnian Cabaran Perdana; mengadakan siri perbincangan dengan Bahagian Sumber Manusia bagi meneliti isu perjawatan dan kenaikan pangkat; menyegerakan pelaksanaan laluan kerjaya pensyarah perubatan ke gred 56; mempertimbangkan skim ganjaran untuk menggalakkan penerbitan; dan meneliti isu-isu berkaitan prasarana.   Selain itu beberapa isu khusus yang berbangkit di PTj yang tertentu juga sedang diambil tindakan dan maklumbalas akan diberikan dalam masa terdekat.

InsyaAllah saya akan tekun mendengar dan mengambil input dari saudara dan saudari dalam rangka lawatan yang berbaki di beberapa PTj lagi serta sesi pertemuan dengan pelbagai entiti di UKM.

Seperkara yang kita maklumi, kedudukan kewangan universiti tidak begitu selesa ditambah dengan peruntukan dana penyelidikan RU yang kecil. Saya menyeru khususnya kepada ahli akademik yang lebih senior, agar kita menumpukan usaha memohon geran antarabangsa, dana industri dan geran dari agensi kerajaan yang lebih besar dan berprestij, selain dari geran konvensional dibawah KPM.  Elok kiranya dana kecil RU yang ada ini kita berikan lebih kepada pensyarah-pensyarah muda untuk mereka membina kepimpinan dalam penyelidikan.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada seluruh warga UKM di atas kejayaan kita memperbaiki kedudukan ke tangga 151–160 berbanding 161-170 pada tahun lalu dalam Times Higher Education: Top Universities in Asia Pacific 2019.   Semoga peningkatan ini membakar semangat untuk kita terus berusaha memberikan yang terbaik dalam aspek pendidikan, penyelidikan dan khidmat di universiti kita ini.

Saya yakin kita boleh Sekian, terima kasih. Salam hormat, Prof. Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor Naib Canselor / Vice-Chancellor
28 Februari 2019

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Warga UKM yang dihormati

Izinkan saya membuat sedikit coretan. Saya mengakui agak sedikit mencabar pada awal tugasan saya di varsiti ini, dalam usaha memahami perasaan, cara fikir, gerak laku dan budaya kerja warga serta organisasi sebesar dan segagah UKM.

Setelah berlalunya tempoh masa tiga bulan, saya kira saya semakin dapat memahami dengan baik situasi dan posisi universiti kita. Kefahaman ini memungkinkan saya untuk mengembeling tenaga secara bersama dengan pelbagai kelompok dan peringkat kepimpinan university bagi menyasar arah tuju, merencana strategi mampan dan melakar tindakan berkesan. Jika ruang waktu membenarkan, kesemuanya ini akan dikongsikan dengan seluruh warga UKM dalam ucapan 100 hari yang akan datang. Tema pilihan bagi ucapan itu berbunyi ‘Kualiti Teras Kebitaraan Universiti’. Justeru perkara utama yang sangat sentral dan akan mendasari hala tuju UKM adalah aspek kualiti. Saya penuh yakin, kita tidak akan tersilap sekiranya kita mendokong elemen kualiti. Tetapi kita pasti membuat kesilapan yang besar sekiranya kita membudayakan tin kosong yang bising tetapi kontang isi dan kandungan.

Fokus akan kita juruskan kepada peningkatan kualiti, terutamanya dari sudut penyelidikan, akademik dan pengantarabangsaan. Output penyelidikan misalannya, wajib ditumpukan kepada penerbitan berkualiti tinggi dan berimpak. Percayalah, kesan baik kepada universiti kita dek kerana ketinggian kualiti, akan berterusan dan berpanjangan.

Faktor terpenting yang akan menjayakan hasrat ini tidak lain dan tidak bukan, adalah warga UKM sendiri. Oleh yang demikian, usaha pembangunan dan penyerlahan bakat, baik dari peringkat pengurusan, ahli akademik, para pegawai, staf sokongan dan para pelajar, akan diberikan tumpuan khusus. Bagi merealisasikan seluruh agenda pemerkasaan kualiti ini, sokongan kewangan yang kukuh amat kritikal. Buat masa ini, kedudukan kewangan universiti agak membimbangkan kita. Langkah-langkah segera penjanaan yang bersifat jangka pendek telah dirancang dan akan dilaksana. Strategi penjanaan jangka panjang sedang diatur dan akan dimuktamatkan segera.

Justeru, sokongan, dokongan dan doa warga UKM agar varsiti kita terus berjaya, amat-amat diharapkan. Marilah kita satukan tekad, bulatkan harapan dan bergerak ke hadapan bersama.

Semoga UKM kekal menjuarai. Sekian terima kasih.

Salam hormat,

Prof. Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd  Shukor Naib Canselor
31 Mac 2019

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Warga UKM yang dihormati

Empat bulan sudah berlalu pergi. Sejujurnya ianya suatu tempoh masa yang sangat menarik dalam episod kehidupan saya sebagai seorang Naib Canselor. Saya semakin mengenali dengan baik universiti ini dan memahami potensi yang ada.

Bicara Perdana yang telah saya sampaikan sempena 100 hari menggalas tugas berat ini, akan menjadi panduan utama dalam menggerakkan perancangan strategik universiti bagi tempoh tiga tahun.

Berpandukan kepada lima tonggak utama di bawah tema Kualiti Teras Kebitaraan Universiti iaitu Penyelidikan Berkualiti dan Berimpak; Pemerkasaan Pengajaran dan Pembelajaran; Pengantarabangsaan; Penyerlahan Bakat dan Kelestarian Pendanaan, saya bersama rakan-rakan pengurusan universiti kini sedang giat memperinci dan merangka pelan bertindak. Beberapa siri pertemuan akan diatur dari semasa ke semasa bersama kumpulan-kumpulan khusus dari kalangan ahli akademik, P&P, sokongan dan juga pelajar bagi memantapkan perlaksanaannya.

Yang lebih penting lagi ialah sokongan dan usaha keras daripada saudara saudari bagi merealisasikan semua lapanbelas inisiatif yang telah digariskan di bawah kelima-lima tiang ‘mahligai’ kualiti UKM tersebut. Justeru saya sangat mengalu-alukan sebarang pandangan, cadangan dan maklumbalas terhadap pembentangan dalam Bicara Perdana tempoh hari dalam usaha menambah baik dan memperhalusinya. Buat yang tidak berkesempatan hadir, dipersilakan untuk merujuk bahan pembentangan itu di laman web Pusat Strategi UKM yang berikut: http://www.ukm.my/strategi-ukm/news/bahan-pembentangan-bicara-perdana-naib-canselor-ukm-2019/ 

Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat Hari Pekerja kepada semua warga UKM yang merupakan nadi terpenting pembinaan sebuah universiti tersohor bertaraf dunia yang kita idamkan. Bersempena dengan bulan Ramadhan yang bakal tiba beberapa hari lagi, sukacita juga saya mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh Warga UKM yang beragama Islam. Semoga dalam bulan yang penuh kemuliaan dan barakah ini dapat kita bersama-sama mempertingkatkan kualiti amal ibadah dan kebajikan di samping melaksanakan tugasan harian di kampus.

Sekian terima kasih.

Salam hormat,

 
Prof. Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd  Shukor
Naib Canselor
30 April 2019

 

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Warga UKM yang dihormati

Syukur kerana saya masih diberi kesempatan menemui saudara-saudari melalui coretan ringkas ini. Diam tak diam bulan Ramadhan telah hampir sampai ke penghujungnya. Semoga semua amal baik yang kita laksanakan sepanjang bulan mulia ini diterima Allah.

Baru-baru ini kita telah menyambut ulang tahun penubuhan UKM ke-49 iaitu pada tanggal 18 Mei. Dalam usia hampir mencecah separuh abad ini, sangat perlu untuk UKM mempamerkan kematangannya sebagai universiti yang mensejagatkan ilmu beracuan budaya kebangsaan dengan jangkauan di peringkat global.

Justeru satu daripada aspek kebitaraan UKM sebagai sebuah Universiti Penyelidikan yang perlu diberi perhatian adalah dari segi kualiti penerbitan.

Sukacita saya kongsikan beberapa inisiatif yang diumumkan semasa Bicara Perdana yang lalu yang telah mula dilaksanakan. Garis Panduan Skim Insentif Penerbitan Penyelidik UKM bagi ganjaran penerbitan WOS di jurnal Q1 hingga Q4 telah diedarkan baru-baru ini melalui Pekeliling CRIM Bil.7/2019 bertarikh 24 Mei 2019. Unit Lonjakan Penerbitan yang diwujudkan di bawah Penerbit UKM dengan 4 orang Editor Artikel Jurnal sepenuh masa juga telah beroperasi mulai 2 Mei 2019. Setakat ini Unit Lonjakan Penerbitan telah menerima 48 artikel untuk semakan dan suntingan, 30 daripadanya dalam bidang sains sosial dan 18 artikel bidang sains.

Dari segi data penerbitan, bagi tempoh sehingga akhir bulan Mei ini kita telah mencapai 469 penerbitan dalam Q1-Q4, peningkatan kira-kira 25% berbanding tempoh yang sama tahun lalu, Daripada jumlah tersebut, sebanyak 39 penerbitan oleh sarjana UKM berada dalam jurnal-jurnal top 10%. Setinggi-tinggi tahniah atas pencapaian membanggakan ini dan ayuh kita teruskan momentum ini!

 

Pencapaian (Jan – Jun)20182019
Q1135162
Q295152
Q373103
Q44752
Jumlah350469

Sehubungan itu saya berharap agar kedua-dua inisiatif tersebut dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya bagi membantu dan memberi galakan kepada penyelidik untuk meningkatkan mutu penerbitan khususnya dalam jurnal-jurnal berimpak tinggi. Laman web PTSL juga telah menyediakan senarai penuh jurnal terindeks WoS (Q1-Q4) untuk kedua-dua bidang sains & teknologi dan sains sosial, serta dalam proses melanggan pangkalan data WoS yang dijangka boleh dicapai mulai bulan Julai. Selain penerbitan, inisiatif-inisiatif di bawah tonggak kualiti yang lain juga sedang dalam tindakan dan perkembangannya akan dikongsikan bersama saudara-saudari kelak.

Sebelum mengundur diri, saya mengucapkan selamat menyambut Hari Raya ‘Idul Fitri kepada seluruh Warga UKM yang beragama Islam dan juga selamat bercuti kepada yang lain. Mohon maaf sekiranya ada salah dan silap dalam kata-kata atau perbuatan sepanjang lima bulan saya di sini dan raikanlah lebaran ini dengan penuh kesyukuran dan keinsafan.

Sekian, terima kasih.

Hamdi
31 Mei 2019

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Warga UKM yang dihormati

 

Diharapkan agar semuanya berada dalam keadaan sihat dan ceria, tambahan pula dalam kemeriahan bulan Syawal yang mulia ini.

 

Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh Warga UKM atas pencapaian terbaik setakat ini, di kedudukan 160, melonjak 24 anak tangga berbanding 184 pada tahun lalu seperti yang diumumkan QS World University Rankings 2019/2020 baru-baru ini.

 

Ranking oleh agensi antarabangsa seperti QS dan THE, pada asasnya merupakan suatu benchmarking antara university-universiti di seantero dunia. Semakin tinggi ranking sesebuah universiti, semakinlah ia dilihat tersohor dan dijulang sebagai institusi terbaik dunia. Terdapat kepelbagaian pandangan berkait dengan ranking university ini, sama ada bersetuju mahupun tidak. Namun, patisipasi dalam acara ranking ini menjadi semacam suatu keperluan yang tidak dapat dielakkan sama sekali buat masa ini.

 

Memetik kenyataan YB Menteri Pendidikan, ‘kejayaan yang dikecapi hari ini telah membuktikan bahawa apabila kita mengejar peningkatan kualiti, maka ranking akan mengejar kita’.

 

Kriteria penilaian oleh QS World University Rankings adalah merangkumi dimensi-dimensi berikut: Academic ReputationEmployer ReputationFaculty/Student RatioCitations per Faculty, dan International Faculty and Student Ratio. Semua perkara yang diukur itu sangat berkaitan dengan kualiti pengajaran dan pembelajaran oleh universiti, kualiti graduan dari maklum balas majikan, kualiti hasil penyelidikan melalui penerbitan, serta pengantarabangsaan melalui keupayaan universiti menarik sarjana dan pelajar dari luar negara.

 

Justeru ada apa dengan ranking ini? 

 

Dengan adanya pengiktirafan di peringkat antarabangsa, ranking bukan sahaja memberikan kredibiliti kepada sesebuah universiti sebagai institusi pilihan pelajar dalam dan luar negara, malah dapat menarik para sarjana mahupun pakar, industri dan organisasi terkemuka untuk menjalin kerjasama. Walaubagaimanapun jika dilihat dari sudut lain, penarafan universiti oleh badan antarabangsa seperti QS dan THE ini berpotensi besar dalam menyumbang kepada pembangunan negara.

 

Penarafan yang baik kepada universiti di sesebuah negara memberikan isyarat bahawa negara tersebut mempunyai keupayaan dari segi pembangunan teknologi dan inovasi, dan penghasilan modal insan berkualiti yang sangat dititikberatkan oleh pelabur asing. Negara-negara sedang membangun menjadikan ranking university sebagai asas membuat keputusan penghantaran pelajar-pelajar mereka ke luar negara.

 

Menyedari impak ranking universiti ini, negara-negara hebat seperti China, Korea Selatan, Taiwan dan Jepun telah memberikan perhatian serius kepada universiti-universiti mereka melalui pelbagai inisiatif yang disokong oleh kerajaan. Di Jepun misalnya Perdana Menteri, Shinzo Abe telah melancarkan Program Super Global Universities pada 2013 yang mensasarkan kemasukan 1500 penyelidik tersohor dari seluruh dunia. Gagasan ini disahut oleh Universiti Kyoto sebagai contoh, yang sebelum ini sangat konservatif dalam pengambilan profesor luar, telah membuat komitmen melantik 100 profesor tersohor antarabangsa dalam tempoh 10 tahun.

 

Lonjakan demi lonjakan yang dicapai oleh UKM saban tahun menunjukkan bahawa kita mampu berada sebaris dengan kelompok universiti terbaik dunia. Harapan saya melalui lima tonggak utama Pelan Strategik UKM iaitu Penyelidikan Kualiti dan Berimpak, Pemerkasaan Pengajaran dan Pembelajaran serta Pengantarabangsaan yang disokong oleh Penyerlahan Bakat dan Kelestarian Pendanaan, dapat kita capai selaras dengan visi dan misi UKM. Saya percaya dengan komitmen penuh warga, kita mampu menjayakannya, dan bersama-sama dengan kejayaan itu akan menyusul pengiktirafan dan penarafan tinggi ranking university dunia.

 

Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua PTj yang menjemput saya ke majlis sambutan Hari Raya sepanjang bulan ini. Saya amat berbesar hati dapat bertemu dan beramah mesra dengan kakitangan serta pelajar. Mohon berbanyak maaf sekiranya saya tidak berkesempatan hadir dan InsyaAllah kita berjumpa dilain kesempatan. 

 

Sekian, terima kasih.

 

Hamdi

30 June 2019