Covid-19 dan ekonomi negara

Pandemik Covid-19 memberi kesan kepada ekonomi melalui beberapa aspek. Pertama, ia mewujudkan kebimbangan kepada isirumah daripada dijangkiti virus yang boleh membawa maut ini. Firma pula terkesan kerana pekerja mula bimbang untuk keluar bekerja. Kebimbangan meningkat apabila negara-negara lain mula mengambil langkah menghalang warga untuk keluar bekerja dan bersosial. Lantas, sektor ini mencatu perbelanjaan mereka kepada perkara penting sahaja kerana bimbang akan kehilangan sumber pendapatan utama. Kedua, dasar kerajaan dalam mengawal pergerakan melalui PKP memburukkan keadaan ekonomi. Aktiviti normal ekonomi bertukar daripada ekonomi berasaskan kehendak kepada ekonomi berasaskan keperluan asas. Namun, sebahagian besar kegiatan ekonomi terjejas kerana firma dan buruh gagal mengubahsuai kepada situasi baharu ini. Selain itu, kegiatan ekonomi rentas sempadan juga terjejas. Malaysia sebagai sebuah negara terbuka akan menerima impak besar daripada situasi ini. Susulan wabak ini mula terkawal, tindakan kerajaan melonggarkan kawalan pergerakan dijangka dapat memacu semula aktiviti ekonomi domestik tetapi dengan kelaziman baharu. Semoga ekonomi negara kita cepat bangkit.